KETUA Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner tidak gembira dengan kekalahan 0-4 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super pada Jumaat namun tidak pula kesal kerana mempunyai sasaran yang lebih besar buat kelab.

Kekalahan itu menyaksikan rekod 12 perlawanan tanpa kalah Terengganu lebur tetapi Tomislav mahu para pemainnya tidak hilang semangat dan terus memberikan fokus kepada saingan Piala Malaysia dan Piala AFC.

Terengganu berhadapan jadual yang padat dengan aksi peringkat kumpulan Piala AFC dan separuh akhir Piala Malaysia dan terpaksa melakukan penggiliran pemain bagi memastikan setiap pemain berada pada tahap yang cergas.

“Tahniah kepada Selangor kerana mereka layak untuk menang. Sebelum melepaskan gol pertama, kami bemain baik dan selepas itu hilang keyakinan. Gol kedua dan keempat juga tidak sepatutnya dilepaskan kerana kesilapan mudah menyebabkan kami tewas.

“Tanpa tiga hingga empat pemain utama, kami agak bergelut tetapi ianya perlu dilakukan kerana jadual kami yang padat. Saya tidak berpuas hati dengan keputusan tetapi pemain sudah berikan segalanya dan pemain muda yang diturunkan boleh menggunakan perlawanan ini sebagai pengalaman.

“Benar setiap permainan dan mata sangat penting tetapi kami mempunyai sasaran di Piala Malaysia dan Piala AFC. Kami perlu menghadapi banyak perlawanan berbanding Selangor yang sudah boleh berehat selama dua bulan dan ini adalah cabaran baharu buat kami,” jelasnya ketika sidang media selepas perlawanan di Gong Badak pada Jumaat.

Berbaki empat perlawanan, Terengganu kini di tangga keenam liga dan kedudukan ini tidak akan banyak berubah sehingga akhir musim dan ini yang menjadi punca mereka mengalihkan perhatian kepada Piala Malaysia dan Piala AFC.