TERENGGANU FC mengumumkan Tomislav Steinbruckner dilantik sebagai Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) bagi musim 2023 selepas jurulatih terdahulu, Muhammad Nafuzi Mohd Zain menolak kontrak lanjutan dari pengurusan kelab tersebut.

Tanggungjawab utamanya adalah meneruskan legasi positif pasukan Terengganu FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2023 dan juga saingan Piala AFC 2023.

Pengendali  berasal dari negara Croatia tersebut sebelum ini telahpun bersama pasukan Terengganu FC dengan menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Teknikal kelab bermula pada tahun 2022.

Kontraknya bersama Terengganu FC sebagai Ketua Jurulatih adalah untuk tempoh satu tahun iaitu bermula 1 Disember 2022 sehingga 31 Disember 2023.

Berdasarkan keputusan positif TFC bawah kendalian Nafuzi Zain, dia bersedia  memberikan khidmat terbaik untuk kelab ini terus melakar kegemilangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, berkata, perlantikan bekas jurulatih T-Team itu dibuat untuk tempoh setahun sehingga Disember 2023.

Menurut beliau, Steinbruckner yang juga pemegang lesen jurulatih UEFA Pro adalah individu paling layak mengisi kekosongan ditinggalkan Nafuzi Zain.

“Sejak menjadi pengarah teknikal TFC musim ini, beliau telah membuat analisis terhadap kekuatan pasukan dan kualiti barisan pemain sedia ada.

“Meskipun menyedari cabaran getir untuk melatih TFC, kami optimis Steinbruckner mampu membawa pasukan ini ke tahap lebih baik dalam kempen domestik dan Asia tahun depan.

“Dengan pengalaman yang ada juga beliau diyakini tidak ada masalah untuk memberi khidmat terbaik kepada kelab,” katanya pada majlis memperkenalkan jurulatih di sini, pada Khamis.

Untuk rekod, Steinbruckner, 56, pernah membimbing kelab Croatia, NK Novigrad, NK Orsijek dan Bijelo Brdo selain turut membawa T-Team meraih tempat ketiga Liga Premier pada 2015.