Kredit Foto : TFC
PENGARAH teknikal Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner hampir pasti menjadi pilihan menggantikan Nafuzi Zain sebagai pengendali baharu musim depan.
EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, perkara itu akan diumumkan pihak pengurusan TFC tidak lama lagi.
Menurut beliau, jurulatih kelahiran Croatia itu memiliki pengalaman dan kepakaran yang mampu meneruskan kecemerlangan TFC ketika di bawah kendalian Nafuzi.
“Ketika mesyuarat ahli lembaga pengarah bulan lalu, menyambung khidmat Nafuzi adalah pilihan pertama pihak pengurusan manakala nama Tomi (Steinbruckner) turut tersenarai sebagai calon kedua.
“Dengan penolakan tawaran lanjutan kontrak daripada Nafuzi, mungkin ianya akan diberikan kepada Tomi. Namun pihak pengurusan akan putuskan perkara ini.
“Hanya dua nama itu sahaja dibincangkan dan Tomi pun menjalankan tugas selaku pengarah teknikal dengan baik,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN, semalam.
Wan Sukari menambah, pengalaman Steinbruckner dalam Liga Malaysia bersama T-Team sebelum ini diharap dapat membantu meningkatkan prestasi TFC musim depan.
Steinbruckner merupakan bekas jurulatih T-Team dan membawa pasukan itu menamatkan Liga Premier di kedudukan ketiga pada 2015 sebelum dilantik sebagai pengarah teknikal TFC musim ini.