“SABAH ‘memusnahkan’ kami dengan corak permainan tersusun sejak minit pertama.”

Itu reaksi awal jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner setelah dijinakkan 0-4, malam tadi.

Malah jurulatih berasal Croatia itu bagaikan hilang kata-kata menyaksikan aksi longlai anak-anak buahnya sambil mengakui TFC tewas di tangan pasukan lawan yang lebih baik.

Menurut Steinbruckner, antara punca kekalahan itu adalah faktor krisis kecederaan dialami TFC memaksa beliau merombak kesebelasan utama terutama benteng pertahanan.

“Pihak lawan lebih pantas dalam setiap perebutan, malah melakukan gerakan lebih baik berbanding kami menyebabkan TFC tewas penguasaan bola, saya tidak boleh berkata apa-apa malam ini (semalam).

“Ini persembahan paling buruk TFC dan selepas membuat pertukaran pada babak kedua, kelebihan masih milik Sabah dengan kualiti pemain simpanan memisahkan kami,” katanya kepada pemberita.

Pada perlawanan itu, TFC tumpas empat gol tanpa balas di tangan Sabah hasil voli menarik Ramon Machado minit keenam, Sadiil Ramdani (m-29), Miguel Cifuentes (m-40) dan Jefri Firdaus Chew (m-48).

TFC bagaimanapun turun tanpa tonggak pertahanan antaranya Azam Azmi Murad, Shahrul Nizam Roshasni dan Alif Zakaria sambil pemain sayap, Norhakim Hassan menjadi ‘bidan terjun’ di posisi bek kanan.

“Malam ini (semalam) menunjukkan mereka penting kepada pasukan saya, namun ia tidak boleh dijadikan alasan punca kami mudah ditundukkan di laman sendiri tetapi saya kecewa,” katanya.