TERENGGANU FC (TFC) mahu menjadikan aksi penutup tirai Liga Super menentang Perak sebagai pengubat luka setelah mengharungi kempen mengecewakan musim ini.
Pengendalinya, Tomislav Steinbruckner, berkata, TFC wajib menghadiahkan kemenangan kepada penyokong setia yang tidak jemu memberikan sokongan.
“Sejujurnya saya risau reaksi pemain selepas kalah final Piala Malaysia namun melihat persembahan ketika menewaskan Bali United, ada sebab untuk saya rasa gembira.
“Kami mahu menutup musim 2023 dengan tiga mata dan saya yakin pemain juga bawa misi sama apatah lagi ini perlawanan terakhir buat beberapa daripada mereka.
“Walaupun berputih mata dalam Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC tapi pemain sudah beri yang terbaik jadi motivasi itu akan diteruskan,” katanya kepada FLASH SUKAN.
TFC kini di kedudukan ketujuh dengan 37 mata ketinggalan satu mata di belakang KL City yang seri 0-0 dengan Sri Pahang, malam tadi.
Kemenangan ke atas Perak malam ini akan membawa TFC kembali memintas KL City sekali gus menjadi penamat saingan liga domestik dan AFC musim ini
Sementara itu Steinbruckner mengakui fokusnya sudah terarah kepada persiapan membentuk pasukan 2024 dengan perbincangan kontrak baharu berjalan positif.
“Saya dan pihak pengurusan kelab sudah beberapa kali berbincang tawaran lanjutan kontrak dan saya harap semuanya berjalan lancar untuk dimuktamadkan segera.
“Sasaran sudah tentu tinggi namun dengan kehadiran pemain lebih berkualiti saya yakin dapat membawa TFC meraih keputusan cemerlang musim depan,” katanya.