KELAB Selangor FC mengumumkan kemasukan pemain import ke-10 dari Croatia, Nikola Jambor yang baru sahaja selesai proses memperolehi Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024-25.

Menerusi satu siaran media yang diedarkan, Selangor FC menyatakan pemain berusia 28 tahun itu memulakan karier profesionalnya sejak usianya 19 tahun bersama NK Koprivnica di Croatia.

Sepanjang beraksi di tanah kelahiran, Nikola melakukan penampilan terbanyak bersama kelab Slaven Belupo Koprivnica dengan 66 perlawanan sepanjang dua musim dan berjaya meraih tempat kedua dalam saingan Croatian Cup 2015-16.

Mesra dipanggil Niko, dia telah berkelana di beberapa negara sepanjang kariernya termasuk Belgium, Portugal dan Arab Saudi dengan pengalaman luas yang dimiliki dilihat mampu memberi suntikan yang berharga kepada Selangor dalam meneruskan saingan Liga Malaysia dan ACL2 2024-25.

Menurut Niko, dia tidak berfikir panjang untuk ke kem Selangor FC selepas mendengar tawaran tersebut daripada ejennya.

“Saya ada menerima panggilan daripada ejen saya mengenai tawaran yang telah menarik perhatian penuh saya. Rancangan pihak kelab telah disusun dan sejajar dengan objektif serta misi saya, menjadikannya sukar untuk ditolak kerana saya benar-benar teruja untuk bersama keluarga baru ini dan bekerjasama ke arah matlamat yang sama,” katanya.

Nidzam yakin kehadiran Nikola bantu tambah saingan di bahagian tengah

Menurut Nidzam Jamil, ketua jurulatih Selangor FC, dia melihat saingan yang tinggi akan hadir di bahagian tengah dengan kehadiran Niko.

“Saya pasti Nikola akan memberikan saingan yang tinggi terutamanya di bahagian tengah dalam pasukan. Saingan ini sedikit sebanyak mampu memberikan kesan positif kepada pasukan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia dan ACL Two musim ini.”

Nikola menjadi rekrut ketiga Gergasi Merah ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia selepas penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al Hafiz dan pemain Jordan, Mohammed Abualnadi.