PASUKAN Gergasi Merah, Selangor FC sedang mengintai tonggak utama Uzbekistan untuk memantapkan lagi kubu pertahanan The Red Giants bagi saingan bola sepak musim 2024/2025.
Perkara ini telah disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal yang menyatakan bahawa pemain Uzbekistan tersebut sedang berada di bawah penilaian pihak pengurusan dan kejurulatihan untuk dibawa masuk ke dalam Selangor FC.
Menurut Johan, beberapa pemain yang berkualiti telah disenarai pendekkan bagi menyertai pasukan The Red Giants dan pemain dari Uzbekistan adalah salah seorang daripadanya.
“Pemain-pemain yang bermain di Piala Asia, Liga Juara-juara AFC (ACL) dan kejohanan-kejohanan besar lain menjadi fokus utama kami untuk dibawa masuk.
“Jika kita tidak membawa masuk pemain yang berkualiti, kelak ianya memberi kesan yang negatif kepada kelab juga.
“Tambahan lagi Selangor akan bermain di ACL2, tahap standard yang sangat tinggi jadi sudah tentu kita akan bawa pemain import yang dapat membantu pemain lokal.
“Wakil daripada Uzbekistan itu adalah salah seorang yang kita sudah senarai pendekkan tetapi ada selebihnya dalam 5-6 pemain lagi yang mempunyai tahap kekuatan sama,” ujar beliau.
Terdahulu, seorang pemain Uzbekistan telah dikaitkan dengan skuad Selangor FC apabila muncul satu hantaran di laman Instagram @legioner_tvfk yang memberi bayangan tentang kapten Uzbekistan akan bersama dengan Gergasi Merah.
Pemain tersebut adalah Umarbek Esmurodov yang telah mencuri perhatian ramai memandangkan Selangor FC jarang mendapatkan seorang import dari Asia Barat.