PENULIS sukan bukan sekadar pelapor peristiwa berkaitan sukan, malah menjadi agen pembakar semangat dan memupuk minat masyarakat terhadap sukan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peranan penulis sukan amat besar dalam agenda nasional terutamanya Kerajaan Madani yang komited menjadikan Malaysia sebagai sebuah “Sporting Nation”.

“Kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan akan terus memberikan sokongan kepada arena sukan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Annugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan (SAM)-100Plus 2023 di ibu negara pada Khamis.

Dalam menyatakan komitmen itu, beliau mengiktiraf peranan wartawan sukan terutamanya generasi baharu ketika ini yang membawa semangat baru dan inovasi dalam penulisan.

”Nasihat saya, era digital kini menuntut penulis sukan untuk memanfaatkan teknologi seperti analitik data sukan, media sosial dan alat-alat digital lain,” ujar beliau sambil menzahirkan kehadirannya pada anugerah itu menggamit kenangan tahun 2016 dan 2017, ketika beliau menyampaikan hadiah kepada atlet dan wartawan pada acara yang sama.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet yang tercalon dan wartawan sukan yang menghasilkan karya-karya hebat.

Beliau juga tidak melepaskan peluang mengucapkan tahniah dan syabas kepada skuad sepak takraw yang meraih dua gelaran pada Piala Dunia Sepaktakraw 2024 di Stadium Titiwangsa Mei lalu.