PEMAIN bola sepak kebangsaan, Faisal Abdul Halim sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta, di Damansara selepas terlibat dalam insiden disimbah asid di sebuah pusat membeli belah terkemuka pada siang Ahad.

Oleh itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang ditemui di sebuah hospital swasta tersebut menegaskan supaya Faisal dapat memberi perhatian sepenuhnya terhadap sesi pemulihan, sementara menunggu dirinya sembuh daripada kesan asid yang terkena pada badan.

Hamidin turut yakin bahawa Faisal yang melecur di bahagian badan rusuk kiri dan juga bahu akibat simbahan asid itu dapat terus bersemangat dan kekal berjiwa kental walaupun ditimpa musibah berkenaan.

Hamidin ketika ditemui di hospital swasta di kawasan Damansara.

“Kita perlu dapatkan rawatan secepat mungkin atau mungkin pembedahan (jika diperlukan) untuk beliau segera sembuh. Beliau dalam keadaan sedih tetapi InsyaAllah saya rasa beliau seorang yang berjiwa kental.

“Bahagian kaki dia nampak okay, tiada apa-apa. Bahagian kiri badan, rusuk dan bahu yang tercedera. Jadi yang penting, saya kata kepada Faisal agar lupakan seketika bola sepak untuk pastikan dirinya cepat sembuh dalam tempoh beberapa bulan mendatang ini,” kata beliau ketika hadir melawat Faisal di hospital swasta berkenaan.

Pada masa yang sama, Hamidin juga menyeru kepada semua pemain bola sepak Malaysia agar sentiasa berwaspada terhadap keadaan di sekeliling agar perkara buruk seperti ini tidak berulang lagi.

Faisal Halim yang melecur di bahagian badan akibat simbahan asid.

“Perkara ini di luar jangkaan, dan saya menyeru kepada semua pemain bola sepak untuk jaga diri masing-masing terutama apabila berada di luar. Saya harap kejadian ini tidak akan berlaku lagi.

“Kita juga berharap agar siapa yang bertanggungjawab itu dapat segera diambil tindakan oleh pihak berkuasa,” ujarnya.