SATU inisiatif bagi memartabatkan lagi sukan bola sepak telah dilakukan melalui program ‘Train like a Pro’ yang menyasarkan golongan remaja seawal usia 12 hingga 17 tahun.
Pengarah program, Noor Zaidi Rohmat ketika ditemui di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya telah mendedahkan bahawa seramai hampir 30 peserta telah menyertai edisi kedua latihan ini sekali gus berjaya meraih sambutan yang menggalakkan daripada kalangan ibu bapa.
Sasaran utama yang diletakkan dalam program tersebut adalah supaya latihan yang dijalankan dapat memberi ilmu dan pengajaran buat para pemain, jurulatih malah juga ibu bapa.
“Kita cuba membentuk pemain seawal usia mereka dengan mengadakan latihan yang bagus dan lengkap.
“Train like a Pro mempunyai keistimewaan tersendiri apabila terdapat barisan jurulatih yang berpengalaman tinggi dalam bidang mereka. Sebagai contoh, jurulatih stamina kita mempunyai lesen peringkat kedua AFC dan ada juga jurulatih yang terlibat dalam pasukan profesional sebelum ini seperti penjaga gol, Norazlan Razali.
“Saya sendiri mempunyai lesen kejurulatihan ‘pro-license’ dan sejak diploma berada dalam jurusan ini. Setiap jurulatih mempunyai peranan tersendiri dan kita gabungkan kesemuanya,” ujar Noor Zaidi kepada FLASH SUKAN.
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed yang juga sebagai Penaung Program ‘Train like a Pro’ turut menjelaskan bahawa program tersebut bukanlah seperti suatu kelab bola sepak atau akademi seperti yang kebanyakan di Malaysia.
“Program ini lebih kepada latihan tambahan atau tuisyen untuk para pemain yang mahu menambah corak kemahiran pada waktu cuti sekolah ini. Program ini juga antara program yang saya belajar sewaktu berkelana di Switzerland iaitu dipanggil ‘Summer Camp’,” kata Sheikh Farouk.
‘Train like a Pro’ yang mempunyai lima sesi latihan ini telah disertai oleh pemain cilik yang rata-rata lahir di sekitar Lembah Klang dan juga telah mendapat perhatian daripada peserta luar negeri.