KETIKA pemain utama dunia mula meregangkan otot berikutan berada pada situasi selesa untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, berbeza dengan nasib perseorangan utama Akademi Badminton Malaysia (ABM), Ng Tze Yong.

Terlepas beberapa kejohanan penting dan keciciran mata, peluang buatnya hanya terbuka sekiranya menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) atau melupakan Sukan Olimpik.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, hanya itu sahaja peluang buat Tze Yong untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky dan jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Tey Seu Bock sering berbincang mengenai kondisi Ng Tze Yong.

Rexy berkata, semuanya terletak di tangan Tze Yong jika dia benar-benar mempunyai keinginan tinggi untuk beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Tze Yong masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan bulan lalu, susulan kecederaan belakang dialaminya dan dijangka menyertai BAC yang menjadi kejohanan terakhir pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik.

Ng Tze Yong tidak mampu memaksa dirinya beraksi apabila mengalami kesakitan belakang pada aksi Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) Februari lalu.

“Semuanya terpulang kepada Tze Yong, sama ada dia yakin atau tidak untuk bermain di BAC.

“Jika tidak, lebih baik lupakan BAC dan fokus kepada Piala Thomas atau kejohanan lain.

“Jalan paling selamat untuk dia layak ke Olimpik adalah menjadi juara BAC.

“Jadi, semuanya terletak di tangannya, sama ada dia benar-benar dahagakan untuk beraksi di Olimpik,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad badminton negara di ABM.

Ng Tze Yong mengalami kecederaan otot tulang belakang pada Terbuka Malaysia Januari lalu. Dia terlepas meraih mata pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu serta Terbuka India (Super 750), Masters Indonesia (Super 500) dan Seluruh England (Super 1,000).

BAC akan berlangsung di Ningbo, China dari 9 hingga 14 April ini.

Selepas terlepas banyak kejohanan awal musim ini susulan kecederaan belakang dialaminya, peluang tampak tipis buat Tze Yong untuk layak ke Sukan Olimpik apabila dia ketika ini berada di kedudukan ke-17 ranking kelayakan ke Paris.

Pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia secara tidak rasminya sudah mengesahkan tiket ke Paris apabila dalam keadaan selesa di kedudukan ke-10 ranking kelayakan sebelum tarikh tutup pada 28 April depan.

Setiap negara dibenarkan mempunyai dua wakil dalam acara perseorangan sekiranya berada dalam kelompok 16 terbaik sebaik tamat pusingan kelayakan.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky yakin sekiranya Ng Tze Yong mempunyai semangat membara untuk beraksi ke Sukan Olimpik Paris dan mengatasi trauma, dia mampu meraih slot ke Temasya Paris.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan proses pemulihan Tze Yong, Rexy memaklumkan pergerakan pemain itu masih lagi terbatas di gelanganggang.

Katanya, perkara utama yang perlu dilakukan Tze Yong adalah mengatasi trauma susulan kecederaan dialaminya dalam usaha untuk mengembalikan semula keyakinannya.

“Datuk Tey Seu Bock (jurulatih perseorangan lelaki) juga ada beritahu saya ketika latihan di gimnasium Tze Yong ada rasa sedikit ‘fed up‘, mahu buat ini tidak boleh, itu tidak boleh.

“Kita semua mahu Tze Yong cergas sepenuhnya tetapi apapun berbalik kepada dirinya sendiri sama ada mahu push atau tidak kerana dia lebih memahami keadaan badannya, kami hanya pantau dan jaganya dari luar,” katanya.