PELUMBA Honda Racing Thailand, Nakarin Atiratphuvaphat meraih kemenangan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) A dalam Perlumbaan 1 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Semasa sesi kelayakan, Azroy Hakeem Anuar dari Boon Siew Honda Racing Team membuat masa pusingan terpantas pada 2’08:137s. Di tempat kedua terpantas adalah Kasma Daniel Kasmayudin dari Yamaha Tekhne Racing Team Asiadengan yang terbaik pada 2’08:249s.
Nakarin menjadikan tempat ketiga terpantas dengan masa pusingan terbaiknya pada 2’08:381s.
Nakarin mendahului pada permulaan diikuti rapat oleh Kasma di P2 dan Azroy di P3. Kedudukan pelumba berubah pantas setiap pusingan antara Nakarin, Azlan Shah Kamaruzaman dari Horizon Racing Team dan Azroy.
“Perlumbaan ini memberikan cabaran yang ketara berikutan keadaan trek yang basah. Pada mulanya, saya bergelut dengan kelicinan, yang menyebabkan pengendalian motosikal agak sukar.
“Namun, apabila perlumbaan berlangsung, saya menyesuaikan diri dengan keadaan dan memperoleh prestasi yang lebih baik.
“Pada pusingan terakhir, walaupun saya berusaha untuk terus maju, saya tidak dapat melepaskan diri daripada pelumba lain, sebaliknya, saya fokus untuk memaksimumkan prestasi saya dalam setiap pusingan, dan saya berjaya meraih kemenangan hari ini,” katanya selepas perlumbaan dengan catatan masa 21’53:106s.
Azlan menduduki tempat kedua di podium pada 21’53:133s manakala Azroy ketiga, 21’53:178s.