PELUMBA paling senior dalam acara pecut berpasukan lelaki, Muhammad Fadhil Zonis yakin, gandingannya bersama Muhammad Ridhwan Shahrom dan Umar Hasbullah, mampu melakukan kayuhan lebih pantas, sekali gus memburu pingat emas pertama  pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) akan datang.

Menjadi pemimpin kepada dua pelumba muda, Fadhil, 27, yakin masa depan trio berpasukan lelaki untuk menyinar, lebih cerah di masa hadapan.

Menurut Fadhil, dia selesa dan gembira melihat prestasi dua pelumba muda iaitu Ridhwan, 23, dan Umar, 21, yang mempamerkan banyak peningkatan prestasi sehingga berjaya meraih pingat perak pecut berpasukan lelaki di ACC New Delhi, minggu lalu.

Katanya, trio itu mampu mempamerkan kayuhan lebih pantas sekiranya setiap kelemahan individu diperbaiki.

Kali pertama digandingkan di ACC2023 di Nilai, trio pecut berpasukan lelaki negara raih gangsa, kini di New Delhi, mereka menukar kilauan kepada perak.

“Saya rasa kami boleh pergi lebih jauh, banyak faktor yang kami boleh touch up, game sebelum ini (Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024) kami tak ada training sangat sebagai satu pasukan, lebih kepada individu, tapi prestasi OK!.

“Kalau terus fokus, memang akan ada peluang. Saya yakin kita boleh pecahkan national rekod. Banyak faktor yang boleh ditambah baik dan mereka masih muda, banyak masa lagi, saya yang perlu bimbing mereka,” katanya, ketika ditemui di Velodrom Nasional, Nilai setelah pulang dari New Delhi India pada Rabu.

Kini Muhammad Fadhil Zonis yakin, trio negara mampu memburu pingat emas.

Selasa lepas, trio lelaki yang dibarisi Fadhil, Ridhwan dan Umar mempamerkan prestasi luar biasa, apabila menyambar pingat perak acara pecut berpasukan lelaki ACC New Delhi 2024 dengan mencatatkan masa 44.607 saat (s) tewas kepada juara bertahan dari Jepun Yuta Obara, Kento Yamasaki dan Minato Nakaishi (44.367s) pada final.

Untuk rekod, trio Fadhil, Ridhwan dan Umar bergandingan sejak Jun tahun lalu bermula di ACC 2023 di Nilai dan mereka segera mempamerkan impak dengan menghadiahkan pingat gangsa di belakang Jepun dan China pada ketika itu.