HARAPAN emas pertama Sukan Olimpik dalam acara berbasikal trek, bergantung kepada teknologi ‘basikal kitar’ semula di Paris 2024 nanti.
Justeru, trio berbasikal trek Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis yang dijangka layak beraksi ke temasya sukan terbesar dunia itu, perlu berpuas hati dengan kemas kini kecil basikal Vorteq WX-R yang digunakan di Olimpik Tokyo, dua tahun lalu.
Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley berkata, sudah terlalu lewat untuk menghasilkan model basikal baharu, sebagaimana yang dirancang sebelum ini, kerana kelewatan kelulusan geran pembangunan projek tersebut.
Menurut beliau, semua pelumba perlu mendaftarkan basikal baharu mereka dengan badan dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada bulan Ogos dan perlu menggunakannya pada Kejohanan Dunia di Glasgow (3 hingga 13 Ogos) untuk memenuhi syarat sebelum boleh digunakan di Paris tahun depan.
“Basikal (baharu) akan hampir sama dengan basikal sedia ada. Kami akan mengkaji sedikit perubahan bentuk dan perincian kecil.
“Kami hanya akan mengkaji perubahan struktur kecil untuk melihat bagaimana kami boleh menjadikannya lebih kukuh, ringan, dan berdaya lentur serta meningkatkan aerodinamik.
“Ya, kami akan menggunakan acuan yang sama (seperti basikal lama), kami tidak mempunyai pilihan kerana kami tidak mempunyai banyak masa. Bajet hanya diluluskan pada bulan Februari.
“Ada Kelulusan awal, tetapi kami menghadapi kesulitan untuk mencapai tahap akhir (kelulusan) dan tidak berjaya melaluinya, ia mengambil masa lebih dari 12 bulan,” kata Beasley.
Menurutnya, usaha menghasilkan basikal baharu memakan masa kerana perlu melalui proses pembangunan dan penyelidikan (R&D) seperti simulasi dan kerja-kerja berkaitan komputer.
Basikal Vorteq WX-R kini digunakan trio Azizulhasni, Shah Firdaus dan Fadhil sejak dibangunkan untuk menghadapi saingan Olimpik Tokyo 2020.