TRIO pecut berpasukan baharu, yang kali pertama diperkenalkan di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Veledrom Nasional, Nilai,  dijangka terus diberi tanggungjawab ke Sukan Asia di Hangzhou, China, September depan.

Ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley berkata, gandingan Muhammad Fadhil Zonis, Muhammad Ridhwan Sahrom dan Umar Hasbullah sudah membuktikan potensi yang mereka ada, dengan memenangi pingat gangsa, meskipun tanpa bintang trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Datuk Azizulhasni Awang, Mohd Shah Firdaus Sahrom akan fokus kepada acara pecut individu dan keirin, manakala pecut berpasukan, akan diketuai Mohd Fadhil Zonis bersama dua pelumba muda, Mohd Ridhwan Sahrom dan Umar Hasbullah.

“Di Sukan Asia nanti, saingan trek akan berlangsung selama empat hari sahaja, Azizulhasni dan Shah Firdaus akan beraksi dalam pecut dan keirin dan acara ini akan berterusan.

“Jika saya turunkan pasukan A, mereka juga akan beraksi pada hari terakhir untuk keirin, jadi saya rasa yang terbaik adalah mereka bermain di keirin dan kita mula membentuk serta memberi peluang kepada pelumba muda, sekali gus membuka peluang buat mmereka membuktikan kemampuan diri mereka,” kata Beasley, sambil mendedahkan China mahu menguasai acara trek di temasya itu nanti.

Tiba masanya John Beasley memberi tumpuan kepada pelumba muda.

Tambah Beasley lagi, untuk pemain muda berada di tahap seperti Azizulhasni dan Shah Firdaus, beberapa langkah perlu diambil termasuk memberi tumpuan kepada perkembangan fizikal dan mental.

Fadhil, 25, kini memimpin acara pecut berpasukan lelaki bersama-sama Ridhhwan, 22, dan Umar, 20, mempunyai tempoh yang panjang untuk membentuk pasukan yang lebih mantap.

Mereka menamatkan perlumbaan penentuan pingat gangsa dengan catatan 44.363 saat (s), mengatasi Kazakhstan dibarisi Dmitriy Rezanov, Kirill Kurdidi dan Sergey Ponomaryov mencatat 44.488s.