TRIO memanah berpasukan lelaki negara, hanya akan diputuskan pada saat akhir menjelang pusingan kelayakan terakhir ke Olimpik Paris 2024.

Jurulatih memanah kebangsaan, Norizham Ishak berkata, empat pemanah yang dicalonkan untuk memburu kelayakan Olimpik akan terus menjalani latihan bersama, termasuk menyertai kejohanan sebagai sebuah pasukan.

Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli, 25, menjadi pemanah paling senior dalam pasukan lelaki yang memburu slot ke Olimpik Paris 2024.

“Sebenarnya saya masih mencari keserasian antara mereka (empat pemanah), tidak mudah untuk mendapatkan slot ke Olimpik tetapi ada peluang.

“Jadi, mereka akan terus menjalani latihan bersama dan mencari keserasian,” kata Norizham, ketika ditemui.

Jurulatih memanah kebangsaan, Norizham Ishak masih menaruh keyakinan terhadap bakap pemanah muda negara.

Ketika ini, empat pemanah, Muhammad Zarif Syahiir Zolkepeli, Mohamad Firdaus Mohd Rusmadi, Muhammad Syafiq Busthamin, Muhammad Danish Amsyar Norazlan diletakkan dalam pemerhatian sebelum diputuskan tiga terbaik untuk beraksi dalam acara berpasukan.

Trio memanah negara di pentas Olimpik.

Menurut Norizham, mereka akan menyertai tiga saingan Piala Dunia iaitu Stage 1 di Shanghai, China, pada 23 hingga 28 April, Stage 2 di Yecheon, Korea Selatan pada 21-26 Mei sebelum ke Stage 3 di Antalya, yang menjadi pusingan kelayakan ke Olimpik Paris.

“Prestasi di China dan Korea akan menentukan siapa yang akan beraksi pada pusingan kelayakan di Antalya pada 15 an 16 Jun depan.

“Ketika ini, Zarif Syahiir menjadi atlet senio paling berpengalaman, sebagai penyuntik semangat kepada atlet muda, manakala tiga lagi pemanah mempunyai prestasi seimbang untuk bersama-sama Zarif Syahiir dalam pasukan.”

Ketiadaan Khairul Anuar Mohamad dirasai skuad memanah negara yang melakukan persiapan akhir melayakkan diri ke Paris 2024.

Jurulatih terbabit mengakui, ketiadaanKhairul Anuar Mohamad yang tidak lagi bersama pasukan kebangsaan, amat dirasai,” Tetapi kita perlu teruskan dengan bakat muda yang ada, kerana mereka memiliki potensi pada masa akan datang untuk terus maju.

“Siapa yang akan kita bawa ke kejohanan kelayakan, pemanah kita memerlukan kejohanan untuk lebih banbyak pendedahan bagi memperkuatkan ketahanan mental, konsistensi panahan dan sentiasa bersedia dalam apa juga situasi dalam pertandingan.”

Ketika ini, hanya Ariana Nur Dania Mohd Zairi menjadi pemanah tunggal negara melayakkan diri ke Olimpik Paris.

Pencapaian pemanah negara di pentas Sukan Olimpik:

Pencapaian Terbaik:
Individu – Suku Akhir
Cheng Chu Sian | Beijing 2008
Khairul Anuar Mohamad | London 2012

Berpasukan – Suku Akhir 
Beijing 2008 | Muhammad Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian & Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz

Atlet Pertama Layak:
Athens 2004 | Individu Recurve Women
Mon Redee Sut Txi

Pasukan Pertama Layak:
Beijing 2008 | Berpasukan Recurve Lelaki
Muhammad Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian & Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz

Penglibatan Di Sukan Olimpik
Athens 2004 | Mon Redee Sut Txi
Beijing 2008 | Muhammad Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian & Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz
London 2012 | Cheng Chu Sian, Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad & Nurul Syafiqah Hashim
Rio 2016 | Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin & Muhammad Akmal Nor Hasrin
Tokyo 2022 | Khairul Anuar Mohamad & Syaqiera Mashayikh