SKUAD memanah wanita negara cuba melakarkan kejutan dalam acara memanah berpasukan recurve di Sukan Olimpik Paris 2024 meskipun dilabel sebagai pasukan bukan pilihan.

Trio negara yang dibarisi Syaqiera Mashayikh, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Ariana Nur Dania Mohamad Zairi mahu memberikan aksi terbaik ketika menggalas cabaran dalam Sukan Olimpik.

Sandaran diletakkan kepada atlet muda negara, Ariana Nur Dania yang pertama kali bertanding di Olimpik namun atlet berusia 19 tahun itu tetap merendah diri apabila enggan meletakkan sebarang sasaran yang tinggi.

Skuad memanah berlepas ke Paris dari KLIA

“Saya hanya mahu memberikan yang terbaik dan tidak mahu meletak harapan yang tinggi. Kami akan berikan saingan terbaik dan cuba memberikan kejutan meskipun kami dilabel sebagai pasukan ‘underdog’,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Ariana juga menjelaskan bahawa program intensif selama dua minggu yang diadakan di Korea Selatan sebelum ini nyata memberikan hasil dan pastinya menjadi dorongan untuk meraih keputusan positif di Paris nanti.

Ditanya mengenai pencabar terdekat pasukan negara, Ariana berkata, pasukan Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat antara pesaing terdekat mereka dari 12 negara yang bertanding.

Ariana tekad untuk bersaing dengan pemanah dari Republik Korea

“Bagi saya, antara pencabar utama kami ialah Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat. Insya Allaj kalau ada rezeki kami mahu lawan pemanah Republik Korea,” jelasnya.

Syaqiera Mashayikh yang beraksi kali kedua di Olimpik berkongsi beberapa tips untuk memastikan kedua-dua rakan sepasukannya itu boleh beraksi dengan lebih tenang dan yakin.

Perkara yang sama turut dikongsi oleh Azreena Mohamad Fazil yang tidak mahu tekanan berlebihan menjejaskan aksinya yang juga kali pertama layak ke temasya sukan berprestij ini.

Trio negara berangkat ke Perancis dan akan memulakan latihan serta mencuba sendiri gelanggang, Esplanade de Invalides, sebelum memanah memulakan saingan lebih awal, iaitu sehari sebelum upacara perasmian temasya edisi ke-33 pada 26 Julai 2024.