TRIO memanah wanita Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh mencatat sejarah apabila menjadi pasukan wanita pertama negara layak ke acara berpasukan di Sukan Olimpik Paris 2024.
Gandingan tiga pemanah muda negara yang kurang diberi perhatian berbanding pasukan lelaki itu, agak mengejutkan apabila menempah tiket ke Paris pada Kejohanan Kelayakan Memanah Akhir di Antalya, Turkiye.
Trio negara itu mengesahkan tempat ke Temasya Paris selepas lolos ke separuh akhir, setelah mengalahkan pasukan Colombia yang diwakili Ana Maria Rendon, Valentina Acosta Giraldo dan Maira Sepulveda 6-0 dalam saingan suku akhir.
“Kami datang ke sini (Antalya) dengan harapan tetapi tidak menjangkakan langsung untuk melayakkan diri ke Olimpik.
“Bagaimanapun, saya dan rasakan sepasukan sudah melakukan persiapan untuk berdepan situasi ini.
“Sudah banyak yang kami korbankan, masa, tenaga untuk menjalani latihan demi saat berharga ini,” kata Ariana, ketika dihubungi.
Mereka kemudian meneruskan momentum positif apabila melangkah ke final selepas berjaya menewaskan Megan Havers, Bryony Pitman dan Penny Healey dari Great Britain 5-3 dalam aksi separuh akhir.
Bagaimanapun, trio negara terpaksa akur dengan kehebatan pemanah dari China iaitu Yang Xiaolei, Li Jiaman dan An Qixuan yang menang 5-4 pada final, sekali gus menyaksikan Malaysia membawa pulang perak acara recurve berpasukan wanita.
Terdahulu, Ariana sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris dalam acara recurve wanita individu, selepas memenangi pingat emas Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, November tahun lepas.
Kejayaan tersebut disifatkan sangat berbaloi buat Ariana dan rakan sepasukan setelah mereka berusaha keras dan melakukan pengorbanan besar untuk ke Paris.
Sukan Olimpik 2024 dijadual bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.