HASRAT melihat pasukan wanita negara mara jauh pada penampilan pertama Sukan Olimpik Paris tidak kesampaian apabila trio harapan itu tersingkir pada pusingan 1/8 kepada Indonesia.
Beraksi di Invalides, trio yang terdiri daripada Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi dan Nurul Azreena Mohamad Fazil tunduk 3-5 kepada trio Indonesia yang dibarisi Diananda Choirunisa, Syifa Nurafifah Kamal dan Rezza Octavia.
Pada aksi itu, Indonesia terlebih dahulu di depan apabila memenangi set pertama 54-52 sebelum Malaysia kembali bangkit memenangi set kedua 55-47.
Bagaimanapun, Indonesia kembali mengungguli set ketiga dengan kemenangan 53-51 sebelum kedua-dua pasukan seri 52-52 di set keempat dan Indonesia memenangi perlawanan dengan keputusan 5-3.
Trio memanah negara bagaimanapun berpeluang untuk menebus kekecewaan di atas kekalahan itu apabila masing-masing turun beraksi dalam acara individu yang dijadual berlangsung, Selasa ini.
Syaqierah yang membuat penampilan kedua di pentas Olimpik akan berdepan pemanah Moldova, Alexandra Mirca pada aksi 1/32.
Ariana pula akan bertemu pemanah Itali, Chiara Rebagliati manakala Nurul Azreena akan menentang Elif Berra Gokkır dari Turkiye.