MASALAH di bahagian penjaga gol yang dialami Perak FC dalam kempen Liga Malaysia musim lalu sudah dapat diatasi dengan kehadiran tiga penjaga gol berbakat sekali gus melakar senyuman di wajah barisan kejurulatihan serta para penyokong.
The Bos Gaurus berjaya membawa masuk bekas penjaga gol muda kebangsaan, Haziq Nadzli secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Ramadhan Hamid dan Firdaus Irman sekaligus mengukuhkan benteng terakhir pasukan untuk saingan Liga Malaysia 2024-25.
Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah menyatakan dia gembira kerana masalah di bahagian ini sudah dapat diatasi dan perkara ini perlu dilakukan kerana pasukan akan menghadapi musim yang panjang dan penggiliran penjaga gol dapat dilakukan.
“Sudah pasti kerana musim lalu kami dibolosi dengan cukup banyak dan untuk musim ini kami tekankan sedikit pada bahagian penjaga gol. Kini kita ada Haziq dan Ramadhan serta Firdaus Irman yang bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.
“Tindakan ini dilakukan kerana liga yang panjang serta ada ‘gentleman agreement’ yang akan menyebabkan Haziq tidak dapat beraksi dan ketika itu Ramadhan dan Firdaus akan berada dalam keadaan terbaik dan bersedia.
“Liga juga akan berselang dengan Piala FA, sudah pasti semua pemain bersedia untuk itu dan sebagai jurulatih, untuk mempunyai penjaga gol seperti Haziq, sudah tentu ianya akan meningkatkan lagi keyakinan dalam pasukan musim ini,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN sejurus perlawanan persahabatan pramusim di Pulau Pinang.
Haziq yang turut ditemui mengakui cabaran yang diberikan oleh dua lagi penjaga gol itu menjadikan dirinya lebih bersedia dan mahu mengekalkan tempat sebagai penjaga gol utama musim ini.
“Saya tidak mempunyai masalah untuk bersaing dengan dua lagi penjaga gol dan jika sesiapa pun diberikan peluang beraksi, kami akan berikan yang terbaik untuk kelab.
“Sokongan para penyokong menjadi motivasi tambahan buat saya kerana setelah lama tidak bermain, setiap kali diturunkan saya akan berikan yang terbaik kerana saya perlukan minit permainan untuk meningkatkan semula tahap keyakinan saya,” katanya.
Berdasarkan beberapa siri perlawanan pramusim, Perak FC dilihat sudah bersedia untuk mencabar kelompok terbaik liga dan kehadiran tiga penjaga gol ini sudah pasti akan memberikan satu semangat baharu buat pasukan.