MUSIM 2024 dimulakan dengan perlumbaan litar pusingan ketiga Asian Le Mans Series yang bakal menghangatkan ‘Dubai Autodrome’ pada 4 Februari depan.

Malaysia yang diwakili oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri bersama dua rakan sepasukan, Broc Feeney dan Luca Stolz akan berusaha mengharumkan nama pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) dalam aksi perlumbaan tersebut.

Menurut Tunku Panglima Johor, beliau meletakkan impian supaya dapat mengumpul sebanyak mata yang boleh untuk melayakkan pasukannya ke pentas berprestij Le Mans 24 Hours Perancis kelak.

“Tahun ini saya akan sertai semua perlumbaan endurance termasuk Asian Le Mans Series dan Intercontinental.

“Jadi, saya dan pasukan akan gigih mempelajari ilmu baru untuk memasuki dunia perlumbaan endurance ini.

“JMR tahun ini akan sertai perlumbaan sepenuh masa untuk mengumpul sebanyak mata yang boleh dan seterusnya mempunyai misi untuk layak ke perlumbaan Le Mans 24 Hours di Perancis,” kata beliau.

Untuk rekod, Tunku Abdul Rahman telah mencipta sejarah pada tahun 2022 dalam menjuarai kejohanan Pro-Am Asia dan menamatkan saingan di tempat ketiga di Australia, manakala Triple Eight JMR pula muncul juara keseluruhan Kejohanan Berpasukan di Asia.

ARTIKEL BERKAITAN : Tunku Abdul Rahman beri bayangan Litar Pasir Gudang bakal jadi pangkalan JMR