SEKALI lagi, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri dan pasukan Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) berjaya meraih kemenangan di Perlumbaan 12 Jam GT Antara Benua 2024.
Kejuaraan yang berlangsung di Litar Mount Panorama, Bathurst, Australia telah menempatkan JMR di kedudukan tempat ketiga bagi kategori Pro-Am pada Ahad (semalam).
Berbekalkan semangat tinggi selepas muncul Naib Juara pada Siri Asian Le Mans minggu lalu, Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan, Jamie Whincup dan Jordan Love bergilir-gilir mempamerkan pemanduan yang cekap dan tangkas sepanjang perlumbaan.
Namun dengan perlumbaan berbaki 20 minit, kerosakan pada ‘splitter’ kereta pasukan, menyebabkan Whincup yang ketika itu mendahului kategori Pro-Am dipintas oleh pelumba lain.
Walau demikian, JMR tetap berjaya mempertahankan kedudukan di podium dengan menjadi pelumba ketiga yang menjayakan perlumbaan sehingga ke bendera penamat.
Selepas ini, pasukan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman bakal beralih fokus terhadap perlumbaan seterusnya iaitu pusingan kedua Kejuaraan Intercontinental GT di Liege, Belgium.