MALAYSIAN Tigers bangkit daripada kekalahan besar 0-5 kepada India apabila mengatasi Jepun 3-1, sekali gus menempah slot separuh akhir saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023.
Kemenangan ketiga daripada empat perlawanan yang sudah diharungi di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai itu, meletakkan seketika pasukan bimbingan A Arulselvaraj di kedudukan teratas sebelum dua lagi aksi dijalankan selepas ini membabitkan Pakistan menentang China dan pendahulu saingan secara round robin, India berdepan Korea Selatan.
Skuad negara berjaya berada di depan pada minit ke-12 menerusi pukulan sudut penalti Najmi Farizal Jazlan namun dua lagi peluang pada situasi sama di separuh masa pertama gagal disudahkan Razie Rahim dan Faizal Saari.
Bersambung babak kedua, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Meor Azuan Meor Hasan dilayangkan kad kuning namun selepas masuk kembali ke dalam padang sebaik tamat penggantungan lima minit, Malaysian Tigers berjaya meraih gol kedua.
Hantaran Fitri Saari ke dalam kotak D Jepun disambar Meor Azuan yang melakukan pukulan rendah sebelum dikuis masuk Asharan Hamsani pada minit ke-37.
Penyerang negara, Shello Silverius mengesahkan kemenangan Malaysia apabila menjaringkan gol padang pada hujung saingan dan Jepun juga berjaya meraih gol sagu hati selepas itu melalui Niwa Takuma.
Malaysia akan melengkapkan saingan round robin dengan bertemu Korea Selatan Rabu ini.