SPEEDY Tigers melangkah bergaya di Chennai, India apabila mencapai kemenangan pada perlawanan pertama Trofi Juara-Juara Asia ketika menentang Pakistan.

Skuad bimbingan A.Arulselvaraj turun dengan reputasi pasukan ranking ke-10 dunia, tiada masalah mengatasi Pakistan 3-1.

Firhan Ashari ledak dua gol ketika Malaysia tewaskan Pakistan 3-1 dalam kempen Trofi Juara-Juara Asia 2023 di Chennai, India. -Pix AHF/Hockey India

Begitupun, tiada jaringan terhasil pada suku pertama sebelum Firhan Ashari meledak dua gol pada lewat suku kedua, iaitu minit ke-28 dan ke-29.

Memasuki suku ketiga, penyerang muda, Shello Silverius meledak jaringan menjadikan kedudukan 3-0, dan semua ketiga-tiga jaringan skuad negara dihasilkan menerusi gol padang.

Shello Silverius meraikan jaringannya dan ketika buat pasukan ketika mengatasi Pakistan dalam kempen Trofi Juara-Juara Asia 2023 di Chennai, India. -Pix AHF/Hockey India

Pada suku terakhir, skuad negara bagaikan selesa sehingga membuka ruang kepada Pakistan melakukan kebangkitan.

Lima minit sebelum tamat perlawanan, Pakistan memperoleh gol saguhati menerusi jaringan Abdul Rehman menyaksikan kemenangan berakhir 3-1 memihak pasukan negara.

Cemerlang meledakkan dua gol, Firhan dipilih sebagai Hero of The Match.

Biarpun berpuas hati dengan kemenangan, Arul nyata kurang senang dengan prestasi keseluruhan dan menyifatkan pergerakan bola dan kaki tidak lancar.

Firhan Ashari dipilih pemain terbaik perlawanan,-Pix AHF/Hockey India

“Kita kena segera kembalikan tahap kecergasan dan setiap individu dalam pasukan perlu ada tanggungjawab meningkatkan prestasi diri untuk berdepan China.

“Tidak banyak maklumat kita ada berkaitan pasukan China namun dapat dilihat mereka mempunyai fizikal lebih besar dan tinggi lampai,” kata Arul.

Esok (4 Ogos), skuad negara akan turun menentang pasukan ranking ke-25 dunia, China dan perlawanan akan berlangsung pada jam 8.45 malam waktu Malaysia.

Terdahulu, Korea Selatan menjinakkan Jepun 2-1.