SPEEDY Tigers tidak jadi ke Eropah, sebaliknya akan berkampung di Korea Selatan selama 10 hari, bagi melakukan persiapan kejohanan Trofi Juara-Juara Asia.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, perancangan awal menentang kelab gergasi dunia di Eropah seperti Belgium, Jerman dan Sepanyol terpaksa dibatalkan berikutan Persatuan Hoki Asia (AHF) menganjurkan Trofi Juara-Juara Asia 2023 yang akan berlangsung di Stadium Mayor Radhakrisnan, Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos depan.
“Perancangan telah diubah A.Arulselvaraj (ketua jurulatih) dan Datuk Mirnawan Nawawi (pengurus) dan pasukan akan menjalani latihan bersama skuad Korea Selatan dari 18 hingga 28 Jun.
“Suka atau tidak, mereka (Korea Selatan) kini berada di tangga kesembilan dan kita ke-10. Mereka tetap pasukan yang sukar dikalahkan tetapi boleh ditewaskan,” kata Subahan.
Menurut beliau, sebelum ini skuad bimbingan Arulselvaraj merancang menentang Belgium, Jerman dan Sepanyol di Eropah namun selepas AHF memutuskan menganjurkan kejohanan terbabit, memaksa pengurusan pasukan kebangsaan merombak pelan awal.
Pencapaian terbaik skuad lelaki kebangsaan di Trofi Juara-Juara Asia adalah menduduki tempat ketiga sebanyak lima kali berturut-turut, pada 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.
Speedy Tigers tidak mengambil bahagian pada edisi 2021 di Dhaka, Bangladesh berikutan pandemik Covid-19.
Difahamkan latihan bersama Korea Selatan dan penyertaan dalam Trofi Juara-Juara Asia juga amat penting buat skuad lelaki negara yang menyasarkan pingat emas di Sukan Asia Hangzhou di China September depan, sebagai langkah terbaik mendapat tiket automatic ke Sukan Olimpik Paris 2024.