PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengambil inisiatif sendiri memperkenalkan piala pusingan pertama bagi Piala Dunia Sepak Takraw Istaf, yang akan berlangsung di Tasik Titiwangsa, Mei depan.

Trofi ditempa khas oleh kepakaran berbakat dari Kraftangan Malaysia itu, menjadi trofi Piala Dunia Sepak Takraw pertama dalam sejarah, untuk dibawa pulang mana-mana negara yang bergelar juara nanti.

Ironinya, reka bentuk arca trofi tersebut diilhamkan sendiri Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, yang sememangnya terkenal dengan minatnya terhadap sukan tradisional Melayu, iaitu seoak takraw.

Mohd Sumali Reduan (kanan) mengangkat trofi Piala Dunia Sepak Takraw Istaf bersama Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader. Trofi ini menjadi piala pusingan Piala Dunia Sepak Takraw pertama yang akan disimpan negara yang menjuarainya selama setahun.

Tiga tonggak yang memegang bola sepak takraw mewakili tiga pemain yang terdiri daripada tekong, apit kanan dan kiri dalam kesatuan menegakkan bola atau glob dunia.

Menurut Sumali, ia membawa maksud permainan sepak takraw menyatukan negara dalam satu semangat sukan.

“Kehalusan tempaan trofi ini diperbuat daripada logam piuter berharga yang disadur dengan emas 24 karat.

“Piuter sememangnya terkenal dengan kualiti premium dan berkilau, amat bersesuaian dijadikan trofi hiasan bersejarah yang hebat sebegini,” kata Sumali.

Mohd Sumali berbangga dengan ilhamnya terhadap reka bentuk trofi Piala Dunia Sepak Takraw Istaf.

Tambah Naib Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) itu lagi, trofi terbabit akan disimpan oleh pemenang selama setahun dan perlu dikembalikan kepada PSM di Kuala Lumpur.

“Saya pasti, trofi seberat 13.5 kilogram (kg) ini bakal menjadi sejarah dunia sepak takraw khususnya bagi Malaysia dan Istaf.

“Reka bentuknya juga mendapat kelulusan Setiausaha Agung Istaf, Datuk Abdul Halim Kader,” ujar Sumali lagi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hadir melancarkan logo, trofi dan kempen Piala Dunia Sepak Takraw Istaf 2024.

Melihatkan perincian senireka trofi Piala Dunia Sepak Takraw Istaf itu, di bahagiah bawahnya terukir bunga raya yang menjadi lambang bunga kebangsaan Malaysia

Di atas susunan bunga raya itu, tertera tulisan: “ISTAF SEPAKTAKRAW WORLD CUP”.

Semoga usaha dibawa Sumali ini berjaya mengangkat martabat sukan sepak takraw lebih tinggi sekali gus diiktiraf di peringkat Sukan Olimpik.