LIMA muka baharu termasuk dua pelumba import menjadi taruhan pasukan nombor satu Asia, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) bagi siri perlumbaan tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus, berkata, rombakan pelumba itu dibuat bagi mencapai misi muncul pasukan terbaik benua dalam ranking UCI.
Menurut beliau, antara muka baharu TSG ialah pakar mendaki berasal Australia, Jesse Ewart dan juara Indonesia, Aiman Cahyadi serta tiga pelumba muda, Zuladri Amin Zulkurnain, Kee Zhe Yie dan Shahmir Aiman Abd. Halim.
“Selain itu kami turut menagih khidmat Harrif Saleh, Nur Aiman Mohd. Zariff, Amirul Fakruddin Mazuki, Irwandie Lakasek, Shahrul Mat Amin dan Wan Abdul Rahman Hamdan.
“Tonggak import termasuk Metkel Eyob (Eritrea), Anatolii Budiyak (Ukraine), Youcef Reguigui (Algeria), Jeroen Meijers (Belanda) dan Jambaljamts Sainbayar (Mongolia) turut dikekalkan.
“TSG membuat penstruktruan semula susulan perubahan sistem pungutan mata dan kami berazam mahu muncul pasukan benua terbaik selepas menamatkan 2022 di tempat ketiga daripada 177 pasukan.
“Kem latihan bermula Sabtu sebelum dua pasukan akan dihantar menyertai Jelajah Sharjah yang berstatus 2.2 dan Jelajah Saudi bermula 27 Januari sehingga 3 Februari,” jelasnya.
Nasiruddin ditemui selepas Majlis Pelancaran dan Memperkenalkan Pasukan TSG yang turut meraikan kejayaan muncul juara Jelajah Asia di sebuah hotel di sini, semalam.
Sementara itu Nasiruddin memberitahu, TSG berjaya menarik tajaan lebih RM11 juta tahun ini yang juga jumlah penajaan terbesar diterima sejak penubuhannya pada 2011.
Beliau berkata, kecemerlangan di persada antarabangsa telah memberi impak positif kepada masa depan TSG yang berhasrat mencapai status pasukan pro benua tidak lama lagi.
“Kami sudah memiliki rancangan jangka panjang dan buat masa ini, TSG di landasan tepat bagi merealisasikan sasaran itu termasuk kedudukan kewangan yang stabil,” katanya.