PRINSIPAL Pasukan JDT Racing Team, Steven Tan menganggap tuah mengiringi mereka di Litar Motegi, Jepun selepas Hafizh Syahrin kini muncul pendahulu keseluruhan pelumba bagi kategori ASB1000 Kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024.
Memulakan hujung minggu dengan ketinggalan 20 mata, Hafizh tidak menoleh kebelakang dan berjaya meraih dua podium dalam kedua-dua perlumbaan untuk kini lima mata dihadapan ketika saingan memasuki pertengahan musim.
Hafizh Syahrin menamatkan perlumbaan pertama di tempat ketiga dan muncul naib juara pada perlumbaan kedua untuk mengatasi Andi Farid Izdihar dan semakin bersemangat untuk mengharungi pusingan keempat di Litar Mandalika, Lombok pada Julai.
“Secara keseluruhan ianya minggu yang baik dan bernasib baik buat kami kerana kami sedar Honda dan Yamaha cukup bagus di litar ini. Oleh itu untuk mendapat dua podium di sini ianya adalah pencapaian yang baik buat Hafizh.
“Kami sememangnya tidak menjangkakan dapat mengatasi defisit 20 mata tetapi nasib menyebelahi kami apabila Andi Farid gagal menamatkan perlumbaan pertama serta pelumba pilihan, Yuki Kunii terkeluar dari perlumbaan.
“Kini Hafizh mendahului kedudukan keseluruhan dengan lima mata mengatasi Azlan Shah Kamaruzaman dan ini adalah perkara yang baik buat pelumba-pelumba negara kita,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Meskipun menepati sasaran awal pada musim pertama di ARRC, Steven tidak mahu terlalu gembira kerana musim masih panjang dan mahu pasukan mengekalkan konsistensi sehingga perlumbaan terakhir di Buriram.
“Musim masih panjang dengan tiga pusingan dan enam perlumbaan. Kami perlu pastikan kami bersikap realistik dan sentiasa bekerja keras untuk menambah baik pasukan dalam musim pertama ini.
“Kami perlu kekalkan konsistensi dari sekarang hingga penamat musim dan lihat jika kami mampu untuk memenangi kejuaraan pelumba yang saya jangka akan berlarutan sehingga ke pusingan terakhir di Thailand pada Disember,” jelasnya.
Hafizh akan kembali ke Jepun untuk sesi latihan rasmi di Litar Suzuka dari 19 hingga 20 Jun ini sebelum menyertai perlumbaan Suzuka 8 Hours dari 19 hingga 21 Julai untuk menambah lebih masa tunggangan bersama jentera Ducati Panigale V4R.