TUAH mengiringi Muhammad Najmi Farizal Jazlan apabila mengecapi detik kegemilangan menjuarai saingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah semalam, ketika kali pertama diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan.

Ketiadaan Marhan Jalil yang direhatkan akibat mengalami kecederaan membolehkannya dipilih sebagai ketua pasukan pada usia 27 tahun.

Bagai segala-galanya sudah direncanakan, Najmi yang juga ketua pasukan bagi skuad hoki dalam dewan yang melakar sejarah muncul juara kali pertama saingan Hoki Dalam Dewan Piala Asia Ogos lalu, kini membimbing rakan-rakan menjuarai kejohanan berprestij, Piala Sultan Azlan Shah yang belum pernah dimenangi Speedy Tigers.

Penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Azlan Shah tidak henti-henti memberi sokongan

Mengakui, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah namun pemain pertahanan itu gembira kerana semnua pemain percaya kepada strategi yang dilakar barisan kejurulatihan sehingga memenangi perlawanan dan muncul juara.

“Ya, ini kali pertama saya sebagai ketua pasukan, sebelum ni saya juga mengetuai pasukan di Hoki Dalam Dewan Piala Asia dan ini adalah kejuaraan kedua saya kecapi sebagai ketua pasukan.

“Kejayaan ini bukan kerana saya tetapi semua pemain yang berjaya patuh kepada perancangan jurulatih dan yakin denan kemampuan diri. Saya juga berterima kasih kepada lapan pemain yang digelar ‘leader’ dalam keluarga besar skuad kebangsaan ini, kerana berjaya membimbing kami,” kata Najmi.

Speedy Tigers akhirnya keluar mempamerkan permainan hoki sebenar, tanpa memikirkan soal kecederaan, kesakitan dan akhirnya menjulang Piala Azlan Shah buat kali pertama dalam sejarah 38 tahun

Menurutnya, benar telahannya seperti sebelum perlawanan akhir bahawa hanya pasukan yang menggunakan peluang sebaiknya akan keluar sebagai pemenang.

Hakikatnya, Korea Selatan memperoleh banyak pukulan sudut penalti, namun pemain negara berjaya mematahkan setiap serangan dan lebih penting, ketika Speedy Tigers mendapat peluang, mereka menterjemahkannya dengan jaringan.

Sementara itu, Marhan mengucapkan tahniah kepada semua pemain dan menybifatkan rakan-rakannya beraksi cemerlang.

ARTIKEL BERKAITAN: 

“The Negative Message Inspired Us More” – Arul

Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia jara selepas 38 tahun