‘BOLA Impian’ mula digunakan FIFA pada perlawanan antara Argentina dengan Croatia, pada separuh akhir awal pagi tadi.

Bola yang dinamakan Al Hilm, membawa maksud Impian itu menggantikan bola yang digunakan sepanjang Piala Dunia setakat ini, Al Rihla atau Perjalanan.

Pasukan terpaksa menyesuaikan diri dengan cengkaman bola baharu seberapa pantas yang boleh, ketika ia hanya diperkenalkan beberapa hari sebelum separuh akhir.

Dalam satu kenyataan FIFA, mereka berkata: “Al Hilm termasuk teknologi ‘connected ball’ Adidas yang sama seperti Al Rihla.”

Bola Al Hilm digunakan dalam Piala Dunia Qatar 2022, bermula dari separuh akhir hingga ke akhir.

Menurut FIFA, Al Hilm mengambil alih tugas Al Rihla bermula di peringkat separuh akhir yang menyaksikan Argentina menewaskan Croatia, awal pagi tadi.

Tambah FIFA, teknologi dalam bola terbabit amat berguna membantu pegawai perlawanan membuat keputusan dengan cepat dan lebih tepat ketika Piala Dunia kali ini.

Teknologi itu juga membolehkan keputusan ofsaid dibuat lebih cepat ketika pegawai boleh melihat detik sebenar pergerakan bola itu.

Terima kasih Al Rihla atas sumbangan besar sepanjang pusingan awal Piala Dunia 2022, kini giliran Al Rihla merasai kehangatan bahan saingan.

Bola terbabit turut membantu mengenal pasti sama ada Cristiano Ronaldo sebenarnya menyentuh bola susulan hantaran silang Bruno Fernandes ketika kemenangan Portugal ke atas Uruguay.

Penderia atau ‘sensor’ dalam bola itu digunakan untuk memutuskan Ronaldo tidak menyentuh bola sekalipun dia meraikan gol itu seolah-olah miliknya.

FIFA berkata, reka bentuk bola itu dicetuskan oleh negara tuan rumah dan trofi Piala Dunia itu sendiri.

Menurut FIFA, bola itu dibentuk menerusi warna ‘padang pasir yang berkilauan di wilayah mengelilingi bandaraya Doha, warna trofi Piala Dunia dan corak bendera Qatar.’ – AGENSI