TIDAK adil rasanya jika atlet taekwondo negara, Fu Cern Put Thai dipersalah atas kekalahan di separuh akhir, sekali gus terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa di Sukan Sea Kemboja kali ini, kerana dirinya diperlakukan secara tidak adil.
Apa tidaknya, Fu Cern tidak sempat melepaskan lelah, apatah lagi menambah tenaga apabila namanya dipanggil beraksi di separuh akhir selepas baru memenangi perlawanan suku akhir, kategori bawah 58 kilogram (kg).
Situasi sukar didepani Fu Cern itu menyaksikan dia tewas 0-2 di tangan wakil tuan rumah, Sam Youdeth dalam pertarungan separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, di sini, dan perlu berpuas hati dengan pingat gangsa.
Atlet berusia 21 tahun itu berkongsi kedudukan ketiga bersama Cerilio Rego Cruz dari Timor Leste yang turut tewas 0-2 di peringkat separuh akhir kepada atlet Thailand, Thanakrit Yodrak.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata jarak masa antara aksi suku akhir dan separuh akhir agak singkat hingga dia tidak sempat untuk melakukan sesi pemulihan dan persediaan terbaik.
“Perasaan saya 50-50 antara gembira dan sedih sebab patut boleh menang tetapi saya gagal. Kalau ikutkan sasaran saya gangsa, tetapi saya cuba dapatkan keputusan lebih tinggi.
“Pada pertarungan separuh akhir saya tak buat silap, cuma saya tak sempat bersedia sepenuhnya tetapi saya tak nak salahkan sesiapa.
“Saya baru habis bertarung (suku akhir) dan saya tengah penat. Tetapi tiba-tiba tak sempat makan, tak sempat memanaskan badan saya terus di panggil (untuk separuh akhir). Saya berasa macam badan saya tak bersedia.
“Suku akhir bermula jam 2 petang (waktu tempatan), habis dalam 2.20 petang dan dalam 2.40 petang sudah mula pertarungan separuh akhir. Lawan dapat kelebihan sebab dia dapat ‘bye’ dan tak bertarung di suku akhir,” katanya.