KETUA jurulatih skuad kebangsaan wanita bawah (B-17), Petronella Douny mengakui pasukan bimbingannya akan berhadapan tugas berat apabila menentang tuan rumah, Thailand dalam perlawanan terakhir pusingan pertama kelayakan Piala Asia Wanita B-17 pada Ahad.
Petronella bagaimanapun tidak meletak harapan terlalu tinggi namun berharap mereka akan mendapat keputusan positif dan mahu bersikap realistik dengan pasukan yang baru sahaja dibentuk selama 18 hari.
“Kami harap dapat cipta sejarah pada perlawanan menentang Thailand esok. Memang saya tidak melihat harapan yang tinggi untuk perlawanan esok tetapi saya harap dapat melihat keputusan yang positif.
“Untuk perlawanan esok saya kita tidak akan bermain secara menyerang tetapi kita akan cuba mengimbangi permainan Thailand. Kita akan cuba berikan yang terbaik dan bermain dengan corak permainan kami sendiri.
Ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan tapi bukan kecederaan yang serius dan mereka boleh diturunkan pada perlawanan esok,” katanya dalam temubual secara dalam talian dari Buriram.
Ditanya bagaimana dia memberikan semangat dan keyakinan kepada para pemainnya terutama Zafirah Zulaikha Zuhri yang baru berusia 14 tahun, Petronella berkata dia memahami tentang persiapan dari segi mental dan fizikal yang perlu ada pada pemain semuda Zafirah tetapi dia berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan olehnya.
Sementara itu, penjaga gol Daliea Eliesa pula berharap agar rakan sepasukannya dapat mengekalkan prestasi mereka pada perlawanan esok untuk memberi saingan kepada pasukan Thailand.
“Saya harap rakan sepasukan dapat teruskan prestasi cemerlang mereka esok. Saya tidak harapkan kami akan menang tapi saya harap semua pemain memberikan komitmen sepenuhnya pada perlawanan esok,” ujarnya.
Dalam temubual yang sama, penjaring terbanyak skuad negara Rocillyeka Lole yang menjaringkan empat gol ketika menentang Kepulauan Mariana Utara berkata gol yang dijaringkannya itu bukan untuk dirinya tetapi untuk seluruh pasukannya.
“Empat jaringan saya semalam bukan untuk diri saya tetapi untuk seluruh pasukan saya. Semestinya saya mahu terus jaringkan gol untuk bantu pasukan dapat keputusan positif,” katanya kepada pihak media.
Kemenangan 5-1 keatas Kepulauan Mariana Utara pada Jumaat meletakkan Malaysia kini sama mata dengan Thailand dengan pemenang perlawanan pada Ahad akan muncul juara kumpulan sekali gus layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Asia B-17 Wanita pada September.