PEMILIK baharu Perak FC XOX Berhad mengumumkan bahawa proses pembayaran tunggakan gaji para pemain kelab ini telah dimulakan.

Pastinya ia merupakan satu pengumuman yang sungguh melegakan bukan sahaja buat semua pemain dan pegawai yang telah lama ‘poket kosong’ tetapi ia juga berita gembira buat penyokong-penyokong setia The Bos Gaurus.

Menurut kenyataan kelab, daripada jumlah keseluruhan 168 kakitangan Perak FC, termasuk pemain-pemain, lebih kurang RM1.6 juta telah dibayar kepada 94 orang.

“Perak FC menjangkakan proses pelangsaian semua pembayaran yang berbaki akan dilengkapkan seawal minggu hadapan, sebaik sahaja selesai semua proses pengesahan dan pengisytiharan hutang-hutang.

“Pihak pengurusan baharu Perak FC bersama pihak eksekutif XOX mengucapkan terima kasih kepada para peminat dan semua pihak berkaitan kelab bola Perak di atas sokongan mereka.

“XOX berharap agar ini merupakan permulaan baharu dengan memberi tumpuan kepada pembinaan semula Perak FC serta mengembalikan zaman kegemilangannya,” jelas kenyataan kelab pada Jumaat.

Dalam pada itu, XOX turut mengucapkan selamta maju jaya kepada pasukan menjelang perlawanan di laman sendiri bertemu UiTM FC, Sabtu ini.