FOKUS lebih bersasar, namun cabarannya tidak mudah.

Bagaimanapun, bekas pengarah kejurulatihan perseorangan negara, Wong Choong Hann selesa membawa misi Hong Kong untuk menempatkan dua perseorangan lelaki, beraksi di Sukan Olimpik Paris Ogos ini.

Kembali ke tanah air sebagai jurulatih asing  buat kali pertama di Axiata Arena, Choong Hann kelihatan ceria dan kurang tekanan berbanding sebelumnya.

Beliau berkongsi perkembangannya melatih skuad perseorangan lelaki Hong Kong.

Wong Choon Hann memberi panduan kepada pemain Hong Kong, Ng Ka Long yang tampil pada Terbuka Malaysia 2024.

“Saya diberikan empat pemain dengan misi memastikan dua pemain lelaki Hong Kong layak ke Paris 2024.

“Dua pemain yang disasarkan ke Olimpik adalah Lee Cheuk Yiu dan Ng Ka Long.

“Tidak ramai pemain tapi tak mudah juga tetapi dari segi penumpuan, saya boleh fokus,” kata Choong Hann, ditemui ketika mengiringi Ka Long dan Cheuk Yiu beraksi hari ini.

Menurutnya, selain dua pemain itu, beliau turut membimbing Chan Yin Chak dan Jason Gunawan.

Wong Choong Hann selesa dalam memastikan membawa dua pemain Hong Kong ke Paris 2024.

Ketika ini, Cheuk Yiu berada di ranking ke-20 dunia, Ka Long (20), Yin Chak (72) dan Gunawan (105).

Dalam pada itu, Choong Hann mengakui tetap mengikuti perkembangan perseorangan lelaki negara, terutamanya menerusi perkongsian berita di aplikasi Facebook.

“Sudah tentu saya ikut, tambahan pula berita mengenai pemain Malaysia melintasi ‘timeline’ Facebook saya.

“Malah saya sering bertemu pemain seperti Ng tze Yong ketika menyertai kejohanan di luar negara, saya lihat dia melalui proses peningkatan prestasi yang baik,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya mengenai kerjayanya di Hong Kong, beliau berkata, menjadi lumrah buat mana-mana jurulatih, berkelana dalam mengharungi pekerjaan secara profesional.