JURULATIH Negeri Sembilan FC (NSFC) , K.Devan menyifatkan kemenangan pasukan adalah disebabkan gol pertama yang berjaya dihasilkan menerusi sepakan percuma Gustavo Almeida Dos Santos.

Tambahnya, keputusan pengadil yang dilihat agak ragu-ragu ketika memberi gol kedua menyebabkan pasukan NSFC tidak mengetahui keputusan sebenar pengadil namun terpaksa akur dengan keputusan jaringan kepada pasukan Selangor FC.

“Saya suruh pemain pada separuh masa kedua untuk turun menyerang. Kami tidak mahu bermain bertahan lagi. Saya rasa gol pertama merupakan turning point dalam perlawanan.

“Separuh masa kedua, kita lebih bagus dari segi menyerang dan kami sangat bagus dalam bertahan. Para pemain mula mempercayai diri dan yakin untuk menang.

“Saya rasa gol ketiga adalah gol yang tidak dijangka pada hari ini. Saya rasa tuhan mahu kita menang hari ini. Tuhan mahukan kemenangan untuk NSFC.

“Gol yang kedua keputusan pengadil kita tengok macam dia nak bagi freekick ke penalti ke gol. Itu yang macam kita ragu-ragu dengan keputusan pengadil,” katanya kepada media selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner pula mengakui punca kekalahan adalah disebabkan kelemahan pasukan Selangor FC dari segi set pieces.

Dia turut berpendapat lawan mempunyai strategi yang sangat baik kerana dua gol jaringan Gustavo Almeida Dos Santos adalah melalui set pieces.

Bagaimanapun, dia menyeru pemain bangkit dalam perlawanan peringkat separuh akhir Piala FA menentang Terengganu FC meskipun teramat kecewa dengan keputusan pada malam ini.

“Ia bukan apa yang kita sangka dari Selangor FC. Kita harus bertahan melalui set pieces lebih baik. Gol terakhir sangat menyakitkan. Negeri Sembilan sangat berbahaya dalam set pieces.

“Selepas separuh masa pertama saya sangat yakin kita boleh menang malam ini. Tapi, kita adalah pejuang. Kita perlu fokus menentang Terengganu meskipun mood pemain tidak begitu baik. Kita harus bangkit tunjukkan perlawanan seperti menentang Sabah FC,” ujarnya dengan nada kecewa.