KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) telah mengumumkan tujuh daripada 11 kelab Liga Super Malaysia yang memohon lesen telah menerima Lesen Kelab AFC 2023 yang membenarkan kesemua kelab ini bertanding dalam Kejohanan Kelab Asia bagi tahun 2023/2024.

Dari jumlah 11 kelab yang memohon, tujuh kelab telah menerima kelulusan untuk bersaing di Liga Juara-Juara AFC 2023/2024 manakala baki tiga kelab langsung tidak memohon perlesenan dari AFC.

Tujuh kelab itu adalah Johor Darul Ta’zim FC, Terengganu FC, Sabah FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC, Kedah Darul Aman FC dan Penang FC.

 

Untuk musim ini, tiga kelab Malaysia akan bertanding di peringkat Asia dengan Johor Darul Ta’zim akan bersaing sekali lagi di Liga Juara-Juara AFC manakala Terengganu FC dan Sabah FC bakal bertanding di Piala AFC yang akan memulakan saingan pada Ogos.

Kesedaran kelab-kelab Asean untuk memohon perlesenan dari AFC semakin meningkat dengan sejumlah 47 kelab menerima lesen Liga Juara-Juara AFC manakala 19 lagi kelab menerima perlesenan beraksi sekurang-kurangnya di Piala AFC.

 

Myanmar mendahului senarai dengan 12 kelab diikuti Thailand sembilan, Vietnam lapan dan Indonesia enam kelab yang mempunyai perlesenan beraksi di Liga Juara-Juara AFC.