BERBAKI kira-kira tujuh minggu lagi menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris, perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui kesuntukan masa.

Menurut pemain yang melonjak ke ranking ketujuh dunia itu, walau apapun yang terjadi, Terbuka Indonesia menjadi kejohanan terbaik untuk menguji sejauhmana dirinya bersedia untuk temasya itu nanti.

“Di Singapura, saya tidak berada pada tahap terbaik seperti yang anda dapat lihat… sejak itu saya tidak banyak menjalani latihan hanya meredakan tekanan, ambil masa untuk pemulihan, merehatkan badan dan memastikan berada pada kondisi terbaik dan bebas dari kecederaan.

“Sekarang saya sudah 70 hingga 80 peratus cergas,” kata Zii Jia kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), di Terbuka Indonesia.

Terdahulu dia menewaskan pemain Hong Kong, Ng Ka Long pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, pada Selasa.

Kemenangan 21-17, 21-16 ke atas pemain senior Hong Kong di Istora Senayan itu, menyaksikan Zii Jia melebarkan kelebihan rekod pertemuan 6-4.

“Ya ini pertemuan keempat menentang Ka Long tahun ini dan saya memenangi semuanya.”

Zii Jia sebelum ini turut menang dalam empat pertemuan terakhir mereka termasuk ketika final Terbuka Thailand, separuh akhir Masters Malaysia, bulan lalu serta suku akhir Masters Indonesia, Januari lalu.

Sementara itu, Zii Jia mengakui kagum dengan semangat pemain Chinese Taipei, Chou Tien Chen yang menyertai kejohanan keempat berturut-turut dalam tempoh empat minggu selain akan menyertai Terbuka Australia minggu hadapan.

“Saya kagum dengan Chou, dia mara ke separuh akhir Terbuka Thailand, suku akhir di Masters Malaysia, separuh akhir Terbuka Singapura, kini bermain di Indonesia dan akan pergi ke Australia,” ujar Zii Jia.

Kemenangan itu Zii Jia ke atas Ka Long, membuktikan dia sudah kembali cergas sepenuhnya selepas terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Singapura, minggu lalu susulan masalah kecederaan hamstring.

Corak latihan yang diterapkan Wong Tat Meng kepada Lee Zii Jia semakin menampakkan hasilnya.

Dia sebelum itu muncul juara Terbuka Thailand dan naib juara Masters Malaysia.

Zii Jia yang berada di bawah bimbingan jurulatih, Wong Tat Meng akan menentang pemenang perlawanan antara pemain China, Weng Hong Yang dengan Kieran George dari India bagi perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.

Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih belum menemui jawapan bagi mengatasi juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Chae Yu Jung apabila sekali tewas di tangan lawan berkenaan, hari ini.

Chen Tang Jie-Toh ee Wei tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia.

Goh Soon Huat-Shevon Lai  tidak mampu mengekalkan tahap prestasi terbaik.

Tang Jie-Ee Wei terpaksa akur apabila tewas 13-21, 15-21 di tangan Seung Jae-Yu Jung.

Ia adalah kekalahan kedua-dua berturut-turut mereka kepada lawan berkenaan dalam empat hari selepas mengalami nasib sama ketika suku akhir Terbuka Singapura, Jumaat lalu.

Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang muncul juara Masters Malaysia turut mengalami nasib sama apabila tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia susulan kekalahan di tangan gandingan Hong Kong, Lee Chun Hei-Ng Tze Yau 21-16, 17-21, 10-21.