PENCAPAIAN dua pingat emas, dua perak serta tiga gangsa di kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, dirumuskan sebagai pencapaian cemerlang dicapai barisan pelumba muda negara.

Pengarah Teknikal Berbasikal Kebangsaan, John Beasley menyifatkan pencapaian itu sebagai bayangan masa hadapan yang meletakkan penanda aras buat skuad berbasikal trek negara ke Olimpik Los Angeles 2028.

“Tanpa barisan pelumba terkuat kita, kejohanan ini tetap mencabar dan melibatkan persaingan tahap tertinggi namun, kita meraih keputusan yang amat menakjubkan,” kata Beasley, ketika dihubungi.

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri paling cemerlang, raih dua emas di ACC 2024, New Delhi.

Menurutnya, pencapaian diraih barisan yang rata-ratanya pelumba muda, membuktikan bakat yang dibentuk mula membenihkan hasilnya.

“Ini bukan lagi ilusi, ia menunjukkan di mana tahap pelumba kita sekarang, kita mempunya pasukan muda dan matlamat utama adalah mempersiapkan mereka untuk 2028.

“Sejak enam hari lalu, mereka menunjukkan bakat yang dibentuk mula mempamerkan hasil dan ktia akan terus mengembangkan kemampuan mereka, biar perlahan tetapi mantap.”

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, bersama pingat emas yang dimenangi di ACC 2024, New Delhi.

Menurutnya, pingat diraih barisan pelumba negara cukup bermakna, kerana ia melalui proses dan kerja keras: “Banyak pengorbanan dan kita bertuah kerana mempunyai sepasukan yang hebat berkerja bersama.”

Beasley turut berbangga dengan pencapaian Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, yang berjaya membawa membutirkan tiga pingat iaitu dua emas dan satu perak.

Izzah meraih dua emas menerusi acara ujian masa 500 meter (m) wanita dan keirin wanita, perak acara pecut berpasukan wanita (Anis Amira Rosidi dan Nurul Aliana Syafika Azizan) dan gangsa pecut individu.

Amira turut menyumbang satu lagi gangsa menerusi acara keirin wanita.

Sementara skuad lelaki menyumbang satu perak menerusi pecut berpasukan (Muhammad Ridwan Sahrom, Muhammad Fadhil Zonis dan Umar Hasbullah) serta gangsa menerusi Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut.