PINGAT emas ketiga negara yang dimenangi H Sureeya Sankar menjadi bukti keazaman seorang atlet muda, yang membuat pilihan tepat dalam menentukan masa depan kerjayanya.
Sureeya berkata, pada temasya 2021 di Hanoi, dia bersaing dalam kategori kumite bawah 67 kilogram (kg) membutirkan pingat emas pertama Sukan SEA dalam kerjayanya, sebelum memutuskan untuk bertukar kategori.
“Saya kurus jadi bila nak tukar kategori orang kata saya tak akan jadi karateka paling kuat dalam kategori itu.
“Malah pada kejohanan SEAKF (Persekutuan Karate Asia Tenggara) di Filipina April lalu, saya tewas kepada lawan sama 4-1,” kata Sureeya.
Pada final kumite bawah 60kg lelaki hari ini, Sureeya mengatasi lawan dari Indonesia, Ari Saputra dengan kemenangan besar 13-5.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah. Biarpun mendahului selesa 5-1, Saputra mengejar mata Sureeya hingga ke kedudukan 6-5.
“Waktu itu tinggal 30 saat untuk perlawanan berakhir, saya tenangkan minda dan fokus kepada tendangan. Saya bagi dia masuk dan melakukan counter attack.
“Saya bertenang demi mendapatkan medal dan ia banyak membantu, tambahan pula memang kami menjalani latihan counter attack.”
Dua kali menyertai Sukan SEA, dua kali jugalah Sureeya, 21, meraih pingat emas, namun dia enggan berhenti di situ kerana mahu menambah koleksi pada satu lagi acara esok.
Tambahnya, lebih manis apabila kedua ibu bapanya, V Vaskee dan N Hari Sankar, kali pertama menonton aksinya secara langsung di temasya ini.
Pada temasya Hanoi, Sureeya meraih emas kumite bawah 67kg, dengan menewaskan karateka Indonesia, Tebing Hutapea.