PEMAIN tengah Terengganu FC, Habib Haroon Haroon Saeed bersedia untuk menewaskan Johor Darul Takzim FC (JDT) dalam aksi akhir Piala FA 2022 yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Jelasnya, kerjasama daripada rakan sepasukan termasuk jurulatih, Nafuzi Zain dengan menerapkan kepada semua pemain untuk kekal fokus pada setiap perlawanan dan tidak menganggap pentas akhir itu sebagai medan terakhir akan membuat mereka beraksi lebih tenang dan baik.
‘Arkitek’ tengah Bahrain itu dengan nada sebak memberi penghargaan kepada penyokong dengan mengatakan dia sangat menyayangi dan merindui penyokong Terengganu FC dengan sepenuh hati, tidak hanya dengan kata-kata.
Tidak dilupakan juga dia turut menghadiahkan kejayaan Piala FA di Malaysia sebagai hadiah buat peminatnya di Bahrain.
Habib memberitahu kepada FLASH SUKAN bahawa dia akan melakukan ‘aksi gila’ untuk memastikan kemarau 11 tahun Piala FA kembali di bumi Terengganu Darul Iman pada edisi kali ini.
“Kita akan pergi untuk menang. Terengganu adalah pasukan yang kuat, pasukan yang baik. Saya percaya kepada rakan-rakan sepasukan, jurulatih dan semua yang kita lakukan. Kita ada pelan kita sendiri untuk final.
“Semua pemain berada dalam keadaan baik. Persiapan berada pada tahap terbaik. Kita telah sambung latihan semalam. Allah akan bantu kita.
“Kita perlu buat banyak perkara kerana ini adalah final. Apa yang kita lakukan, kita mesti percaya pada diri sendiri. Semua percaya kita akan menang, kita akan menang.
” Semua orang tahu maksud perlawanan akhir. Nafuzi beritahu fokus kepada setiap perlawanan dan jangan anggap ia perlawanan akhir.
” Tanpa penyokong, kita bukan siapa-siapa. Teruskan menyokong kami. Saya berjanji tidak akan pernah membuat mereka rasa kecewa kerana mereka sangat membantu kita.
” Saya sangat sayangkan mereka. Saya hargai mereka dari hati saya, sekali lagi dari hati saya. Saya akan hadiahkan untuk rakyat Bahrain. Saya juga akan buat aksi gila pada perlawanan akhir, nantikan,” ujarnya ketika dihubungi FLASH SUKAN.