ISU-ISU dikemukakan Datuk Azizulhasni Awang di laman sosial miliknya hari ini, hanya akan diselesaikan kira-kira dua minggu lagi.

Hal itu sahkan penyelaras Jawatankuasa Road to Gold (RTG), Datuk Stuart Ramalingam yang turut mengakui isu dibawa atlet yang tersenarai dalam program terbabit, sudah berada dalam pengetahuannya.

“Saya menyedari isu dibangkitkan Datuk Azizulhasni, membabitkan MSN (Majlis Sukan Negara) dan hal ini adalah sebahagian daripada kompilasi isu serta permintaan daripada atlet yang mana saya baharu lengkap mengumpulnya selepas pertemuan dengan semua atlet yang tersenarai dalam RTG,” katanya, dalam satu kenyataan.

Penyelaras RTG Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan mesyuarat JK RTG hanya akan berlangsung dua minggu lagi.

Beliau berkata, RTG diwujudkan khas untuk menyelesaikan ‘sekatan-sekatan’ seperti ini namun malangnya, kemelut dihadapi Azizulhasni dengan MSN sudah berlanjutan sejak setahun setengah lalu.

“Saya (penyelaras) perlu mendapatkan butiran berkaitan, daripada pelbagai pihak untuk dibawa ke jawatankuasa untuk membuat pertimbangan.”

Menurutnya, jawatankuasa RTG akan kembali bermesyuarat kira-kira dua minggu lagi dan segala keputusan akan dibuat pada mesyuarat itu.

Bagaimanapun, pengesahan daripada Stuart yang menyatakan RTG akan bermesyuarat dua minggu lagi untuk membuat segala keputusan bagi perkara yang berbangkit.