TUNKU Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri memberi bayangan bahawa mungkin pangkalan pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) bakal dibina di negeri kelahirannya, Johor.

Beliau menyatakan hasratnya itu mungkin menjadi kenyataan apabila Litar Pasir Gudang kembali beroperasi selepas sembilan tahun litar itu ditutup.

Tunku Abdul Rahman yang juga pelumba utama pasukan Triple Eight JMR melihat bahawa sukan permotoran di Malaysia boleh dikembangkan lagi dan inisiatif terdekat adalah dengan menerapkan ilmu permotoran terhadap golongan pelajar ataupun anak muda.

“Tahun 2022 merupakan satu sejarah cukup bermakna apabila saya berjaya memenangi Kejohanan GT World Challenge. Belum ada lagi pasukan Malaysia yang pernah memenangi kejohanan tersebut kerana standard perlumbaan itu agak tinggi, dan kami berjaya mencapai standard itu.

“Dalam masa yang sama, saya mempunyai matlamat supaya JMR boleh berdiri sepenuhnya dengan penyatuan antara pasukan-pasukan pelumba tempatan dari negeri lain. Pihak JMR juga bersetuju tentang perkara tersebut dan jika ‘Johor Circuit’ kembali, kita akan membina tapak di situ.

“Selepas itu, kita boleh menyerap masuk pelajar yang mempunyai bakat dan berminat dalam bidang permotoran ini,” ujar Tunku Abdul Rahman dalam sesi temu bual Stulang Laut pada Sabtu.

 

Sementara itu, Tunku Abdul Rahman yang ditemui ketika Kempen KFC X JMR Youth Session dijalankan turut berkongsi perasaan gembira apabila JMR masih setia bersama rakan strategiknya, KFC yang mula berkolaborasi sejak tahun 2019 lagi.

Walaupun kedengaran sensitif tentang jenama ‘KFC’ ketika ini, namun Tunku Abdul Rahman menegaskan KFC Malaysia sememangnya berada di bawah naungan pihak Johor Corperation (JCORP).

“Saya sememangnya menjaga dan memikirkan tentang imej saya apabila menjadi sebahagian daripada syarikat KFC, tetapi saya maklum dan yakin bahawa jenama KFC Malaysia sepenuhnya berada di bawah JCORP,” tegasnya.

Sebagai rekod, perlumbaan edisi 2024 yang bakal disertai oleh pasukan Triple Eight kekal dibarisi dengan wajah pelumba yang sama iaitu baginda serta Broc Feeney pelumba Australia dan Luca Stolz pelumba Jerman.