TUNKU Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim memberi bayangan bahawa fasa pertama Litar Pasir Gudang (Johor Circuit) mungkin akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.
Litar yang mula dibina sejak tahun 1986 itu bakal menjadi pangkalan buat pasukan Johor Motorsports Racing (JMR), seusai kerja-kerja pembinaan atau penyelenggaraan itu disiapkan.
Tambahan pula, Tunku Abdul Rahman yang juga pelumba utama pasukan JMR menegaskan bahawa tempoh yang dijangkakan untuk Litar Pasir Gudang itu siap turut diambil kira daripada segi kerja penambah baikan trek yang sudah saban tahun terbiar.
“Insyaallah saya rasa fasa pertama lebih kurang dua ke tiga tahun, hal ini kerana banyak lagi penambah baikan yang perlu dijalankan.
“Trek itu dibuat sejak pada tahun 80-an jadi kita perlu mengikut peraturan di bawah Persatuan Automobil Antarabangsa (FIA).
“Oleh kerana demikian, kita tutup trek itu dan tidak dibuka untuk elak kemalangan berlaku, dan untuk keselamatan rakyat… kita ambil alih,” ujarnya kepada pemberita di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Jumaat.
Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Tunku Abdul Rahman optimis dalam menggerakkan industri sukan permotoran di Malaysia.
Oleh itu, hasratnya untuk menjadikan Litar Pasir Gudang sebagai pangkalan buat pasukan JMR akan menjadi satu inisiatif terdekat dengan menerapkan ilmu permotoran terhadap golongan pelajar ataupun anak muda.
Tunku Abdul Rahman beri bayangan Litar Pasir Gudang bakal jadi pangkalan JMR
Mungkin bakat-bakat yang terdapat pada golongan di peringkat akar umbi ini dapat dihimpunkan di bawah satu akademi yang akan dilancarkan oleh Johor Racing, setelah siapnya pangkalan mereka.