SELEPAS kemenangan berganda yang diraih pada Kejohanan Asia Le Mans GT, Abu Dhabi minggu lalu, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri bersama dua lagi pelumba, Jamie Whincup dan Jordan Love akan bersaing mewakili Johor Motorsports Racing (JMR) dalam usaha memburu kegemilangan di perlumbaan Repco Bathurst 12 Hour.

Kejayaan JMR pada 10 Februari telah mencetuskan momentum yang baik untuk pasukan itu ketika mereka bersedia untuk bersaing di litar Mount Panorama, Bathurst, Australia yang terkenal dengan keunikan tersendiri sejurus menggunakan jentera Mercedes AMG GT3.

Dengan grid Repco Bathurst 12 Hour yang mempunyai barisan pelumba-pelumba berpengalaman dan berbakat dalam kategori perlumbaan GT antarabangsa, semestinya persaingan akan menjadi sengit buat JMR.

Walau bagaimanapun, pasukan yang diketuai Tunku Abdul Rahman telah bersedia untuk memberi komitmen mereka pada perlumbaan itu dengan mempamerkan kemahiran dan keazaman diantara pesaing-pesaing dalam bidang elit ini.

“Selepas kejayaan kami di Yas Marina, kami berharap dapat membawa momentum ke hadapan. Sudah agak lama sejak kami berada di Bathurst iaitu setahun yang lalu tetapi diharapkan kami dapat meneruskan momentum hujung minggu ini dan meneruskan dan mencuba menjadi sehabis baik yang kami boleh.

“Perlumbaan terbesar kami tahun ini ialah 24 Jam di Spa Francorchamps kerana ia akan menjadi yang paling lama dan yang saya tidak pernah lakukan sebelum ini. Tetapi pendekatan saya adalah untuk mengambil satu perlumbaan pada satu masa dan Bathurst adalah sama pentingnya dengan semua perlumbaan saya yang lain. Saya akan cuba belajar sebanyak yang saya boleh daripada perlumbaan,” ujar Tunku Abdul Rahman.

Selepas perlumbaan mereka di Mount Panorama, Tunku Abdul Rahman dan pasukan JMR akan meneruskan usaha mereka untuk mencapai kecemerlangan dalam kejohanan di 24 Hours of Spa (Spa Francorchamps, Belgium) dan Indianapolis 8 Hour (Amerika Syarikat) yang dijangka berlangsung pada bulan Jun dan Oktober.

Sementara itu, adinda beliau iaitu Tunku Abu Bakar, Tunku Putera Johor pula akan kembali bersaing dalam GT World Challenge Asia dengan meletakkan sasaran untuk merangkul kejuaraan berikutan kejayaan pada tahun 2023 di mana beliau berjaya menduduki tempat kedua dalam kedudukan pelumba GT3 dan GT3 Pro-Am.

Untuk mengimbas kejayaan lepas, Tunku Abdul Rahman dan Triple Eight telah pun membuahkan hasil yang membanggakan dengan memperoleh tempat ke-10 secara keseluruhan dan meraih tempat ketiga dalam kelas Pro-Am.