TUNKU Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim berkongsi lakaran wajah baharu Litar Johor di Pasir Gudang yang kini dalam proses naik taraf untuk memastikan ianya mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan badan permotoran antarabangsa.
Menerusi hantaran di laman sosial peribadinya, Tunku Idris memuat naik kapsyen “spot the difference” antara dua gambar lakaran litar itu sekaligus menimbulkan rasa teruja kepada semua peminat fanatik sukan permotoran negara.
Menerusi lakaran itu, jelas dapat dilihat beberapa perubahan utama melibatkan bangunan pit baharu, laluan servis sekitar litar, ‘gravel trap‘ yang lebih besar serta perubahan ‘layout’ litar itu terutama di bahagian selekoh terakhir untuk mewujudkan laluan lurus utama yang lebih panjang.
View this post on Instagram
Turut kelihatan adalah tambahan laluan di antara selekoh kedua dengan mewujudkan trek dalaman yang membolehkan litar ini mempunyai dua ‘layout‘ untuk kegunaan pelbagai jenis perlumbaan.
Kawasan paddock juga ditambah baik dengan mengikut spesifikasi terkini bagi memastikan keselesaan dan keselamatan semua pelumba dan krew yang akan bertugas semasa minggu perlumbaan berlangsung.
Pembukaan semula Litar Johor selepas ini pastinya akan menambah pilihan buat pemain industri permotoran selepas Litar Antarabangsa Petronas Sepang dan Litar Beranang yang juga baharu sahaja siap dibina di Selangor.
Selepas siap dibaik pulih, Litar Johor di Pasir Gudang ini akan digunakan oleh pasukan JMR Racing Team serta JDT Racing Team serta dijadikan akademi permotoran bagi melahirkan lebih banyak bakat-bakat baharu dalam sukan ini.
Litar Johor sebelum ini pernah menganjurkan Grand Prix Motosikal Dunia pada 1998 menggantikan Litar Shah Alam sebelum perlumbaan kelas dunia itu beralih ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang bermula tahun 1999.