TEKA-TEKI siapa bakal menjawat jawatan Ketua Jurulatih Harimau Malaya kini menjadi perdebatan penyokong bola sepak tempatan selepas Kim Pan-gon mengambil keputusan mengundur diri atas alasan peribadi.

Harimau Malaya kembali digeruni di bawah kendalian pengendali asal Republik Korea itu dengan Malaysia berjaya layak secara merit ke Piala Asia 2023 dan berjaya mengikat Taeguk Warriors ketika aksi peringkat kumpulan.

Ramai pemerhati bola sepak melihat Pan-gon sebagai jurulatih terbaik yang pernah melatih skuad kebangsaan dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini hingga berjaya melonjakkan ranking Malaysia hingga ke tangga 130 dunia.

Tunku Ismail mahu FAM segera mencari jurulatih baharu yang ‘fresh’ sebagai pengendali Harimau Malaya.

Berbincang mengenai siapa yang bakal menggantikan tempat Pan-gon, Pemilik Johor Darul Ta’zim yang juga Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail berpendapat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kini sudah mula perlu mencari wajah baharu yang ‘fresh‘ dan tidak mempunyai sejarah mengurus mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

Tunku Ismail berkata demikian ketika sesi pertemuan antara dia dan Kim Pan-gon yang turut dihadiri beberapa media termasuk FLASH SUKAN di sebuah hotel terkemuka ibu negara pada Selasa.

“Jikalau anda tanya pendapat saya, saya mahukan seseorang yang ‘fresh‘ yang tidak mempunyai sejarah dengan bola sepak di negara kita ini dan jurulatih yang akan dibawa ini juga perlu mempunyai pasukan jurulatihnya sendiri.

Datuk Hamidin dan exco FAM mempunyai tugasan berat mencari pengganti Kim Pan-gon

“Ini penting kerana kita boleh kurangkan sikap pilih kasih antara jurulatih dan pemain sebab jurulatih yang ‘fresh‘ akan memilih pemain berdasarkan prestasi semasa pemain dan bukan kerana nama atau reputasi.

“Dia juga perlu memiliki pasukan kejurulatihannya sendiri supaya FAM tidak perlu menyediakan jurulatih yang kadang kala tidak berkelayakan untuk memegang jawatan itu seperti mana yang pernah berlaku sebelum ini kepada pasukan junior kebangsaan.

“Oleh itu FAM perlu mencari jurulatih sebegini bermula dari sekarang dan pilihlah sesiapa pun tidak kira dari Asia, Eropah mahupun Amerika Latin asalkan dia memenuhi kriteria ini dan kita letakkan tanggungjawab kepadanya.

Tunku Ismail mengadakan pertemuan terakhir bersama-sama Kim Pan-gon.

“Jikalau dia gagal dia perlu memberi jawapan jikalau dia berjaya, dia boleh mengambil kredit. Ini adalah masa depan Harimau Malaya jadi pemilihan yang tepat perlu dilakukan,” katanya.

FAM mengumumkan pembantu Pan-gon, Pau Marti Vicente sebagai pengganti sementara bagi menghadapi kempen Pestabola Merdeka dan Kejohanan AFF Mitsubishi Electric sebelum sebarang keputusan mengenai ketua jurulatih baharu diumumkan.