PEMILIK Johor Darul Ta’zim FC, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor hari ini menjawab dakwaan terhadap tragedi musibah yang menimpa tiga pemain bola sepak negara, Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim.
DYAM Tunku Mahkota Ismail yang menyuarakan berkenaan perkara tersebut melalui laman Instagram story miliknya, menolak sekeras-kerasnya insiden itu dan menyeru semua pihak untuk bersatu melawan sebarang bentuk keganasan di dalam mahupun luar padang.
“Akhyar (Rashid) kena samun, Faisal (Halim) kena (simbah) asid, Safiq (Rahim) kereta kena pecah, Siti Nur Masyitah kena langgar kereta, semalam seorang lelaki dari Bagan Serai, Perak ditangkap dan jumpa bom di rumah semalam, Balai Polis Ulu Tiram diserang lelaki bertopeng dan dua anggota polis ditembak.
“Semua ini kerja TMJ, FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), polis dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia). Semua kes ini tiada kaitan dengan bola sepak, berlaku di luar kawasan stadium dan luar kawasan bola sepak.
“Tetapi mari kita beramai-ramai buat solidariti ‘stop violence in football’. #InisemuasalahTMJ,” tulis Tunku Mahkota Ismail dalam Instagram story miliknya.
Sebelum ini, terdapat pelbagai spekulasi yang dimainkan oleh pelbagai pihak bekenaan insiden Akhyar Rashid yang disamun dan dipukul dan Faisal Halim yang disimbah asid pada 5 Mei lalu.
Manakala insiden yang melibatkan bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim ialah apabila kereta miliknya diserang oleh individu yang tidak bertanggungjawab sehingga cermin keretanya pecah.
MFL telah melancarkan kempen anti keganasan iaitu ‘Football, Love, Peace’ pada perlawanan minggu pertama Liga Super Malaysia minggu lepas.