SKUAD kebangsaan Malaysia bakal berubah wajah selepas ini apabila bakal menjadi satu badan bebas yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan berprestasi tinggi yang mendapat peruntukan bernilai RM15 juta dari Kerajaan Malaysia dan sektor swasta.

Perkara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Majlis Perjumpaan Warga Kementerian Kewangan (MOF) yang berlangsung di Putrajaya dan dia menekankan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman persatuan bola sepak, termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Berita baik ini turut disokong oleh Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail yang memuatnaik hantaran di laman sosial rasminya dan dapat dilihat Baginda menjadi salah seorang daripada mereka yang terlibat dalam perlaksanaan inisiatif ini.

Carta organisasi baharu unit skuad kebangsaan

Badan bebas ini akan memantau segala operasi melibatkan skuad kebangsaan dengan seorang Ketua Pegawai Eksekutif akan dilantik dengan enam unit penting lain diletakkan di bawah kendaliannya.

Di bawah carta organisasi baharu yang dikongsikan Tunku Ismail, enam unit utama melibatkan Pengarah Kejurulatihan, Ketua Operasi, Ketua Jurulatih, Pengarah Strategik, Ketua Sumber Manusia, dan Ketua Prestasi dimana masing-masing mempunyai bidang tugas yang menyokong setiap unit dan dipantau Ketua Pegawai Eksekutif.

Ini dilakukan bagi mewujudkan satu unit berprestasi tinggi yang akan mempunyai budaya bola sepak yang bersesuaian dengan Malaysia dan juga mencari pemain-pemain baharu dan warisan bagi menambah kekuatan Harimau Malaya.

Tunku Ismail bersama Perdana Menteri dan Pengarah Teknikal Qatar FA

Tunku Ismail dilihat sering bersama legenda Australia, Tim Cahill yang juga Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Qatar serta Ketua Pegawai Sukan Aspire Academy yang melahirkan ramai pemain berbakat di Qatar.

Sudah pasti model yang diketengahkan akan mengikut acuan bola sepak moden yang mementingkan sains sukan selain pembangunan akar umbi yang seiring bagi mewujudkan sebuah pasukan kebangsaan berprestasi tinggi.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa wang perutukan ini diberikan langsung kepada unit skuad kebangsaan ini dan bukannya kepada persatuan dan perkara ini bakal menjadi ejen perubahan terbesar dalam bola sepak negara.