PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mengakui ini adalah pasukan paling profesional yang pernah disertai sepanjang kariernya dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahukan kelainan dalam menguruskan pasukan ini.
Hafizh menyatakan Tunku Ismail bertanya kepadanya jentera apa yang terbaik untuk dia mencabar kejuaraan Asia Road Racing Championship (AARC) 2024 dan dia memilih Ducati V4R yang terus dipersetujui oleh pemilik Johor Darul Ta’zim itu.
“Ini pertama kali dalam karier saya dapat menyertai pasukan yang diuruskan secara profesional. Saya menyertai JDT Racing Team kerana saya dapat apa yang saya perlukan sebagai pelumba dan hanya fokus kepada tugas saya sebagai pelumba.
“Tunku bertanya kepada saya jentera apa yang saya mahukan dan boleh membantu saya mencabar kejuaraan lalu saya memilih Ducati V4R kerana tidak ada pasukan yang menggunakan jentera ini dalam ARRC dan Tunku terus bersetuju.
“Saya juga bersyukur untuk berada dalam projek ini dan sangat teruja kerana telah mendapat khidmat ketua krew dan mekanik dari pasukan Ducati Racing Team yang akan membantu saya kerana ini kali pertama saya berlumba dengan jentera Ducati,” katanya ketika ditemubual FLASH SUKAN selepas majlis pelancaran pasukan di Ibu Pejabat JDT pada Jumaat.
Sementara itu, Prinsipal Pasukan, Steven Tan juga berkongsi beberapa perkara menarik secara eksklusif kepada FLASH SUKAN dengan menyatakan JDT Racing Team adalah pasukan pertama yang memberikan perlindungan insuran kepada semua krew selain potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Tunku mahukan pasukan ini menjadi lain dari yang lain. Dia menyuntik elemen profesionalisme dan juga mentaliti kemenangan dalam pasukan ini dan semua yang terlibat dalam pasukan ini tahu mereka kini membawa jenama dan logo JDT di bahu mereka.
“Pasukan ini juga adalah pasukan pertama yang menyediakan perlindungan insuran kepada semua krew dan kakitangan serta potongan KWSP sekali gus membuktikan betapa seriusnya Tunku Ismail dalam projek ini,” jelasnya.
Steven yang juga bekas pelumba sedar bukan mudah untuk memikul tanggungjawab membawa nama JDT di arena permotoran dua roda namun dia percaya dengan sokongan dan komitmen yang diberikan pasukan ini mampu memberikan cabaran walaupun dalam tahun pertama penglibatan.
JDT Racing Team bakal menggegar saingan ARRC dengan enam perlumbaan yang bermula di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dari 15 hingga 17 Mac sebelum berakhir di litar yang sama pada 6 hingga 8 Disember 2024.
ARTIKEL BERKAITAN : JDT Racing Team sedia sahut cabaran ARRC 2024