PEMAIN sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho jelas tidak berminat untuk kembali ke Manchester United, kecuali Erik ten Hag meletakkan jawatannya sebagai pengurus.

Hal ini kerana, pemain berusia 23 tahun yang kini bermain buat pasukan Dortmund dengan status pinjaman, mempunyai isu perselisihan faham yang serius dengan jurulatih Belanda tersebut.

Ketidaksepakatan antara Sancho dan Ten Hag, terutama berkaitan komen Ten Hag terhadap prestasi latihan Sancho yang dianggap tidak memuaskan telah menyebabkan kedua-dua pihak itu mengalami hubungan yang krisis.

Tambahan pula, Sancho yang enggan meminta maaf atas tindakannya kerana membalas kritikan dari pengurusnya melalui media sosial, telah menambah ketegangan dalam hubungan mereka.

Sancho, pemain Manchester United dipinjamkan ke skuad Dortmund.

Kini, pemain sayap England yang telah dibeli oleh The Red Devils dengan nilai USD 73 juta pada musim 2021 itu sedang mempertimbangkan masa depannya.

Terdapat kemungkinan bahawa dirinya mungkin akan terus berhijrah ke pasukan Dortmund jika Ten Hag masih mengetuai Manchester United bagi saingan bola sepak musim 2024-2025.

Sancho juga telah menunjukkan peningkatan dari segi prestasinya semasa tempoh pinjaman di Dortmund, bahkan pernah terpilih sebagai pemain terbaik dalam perlawanan menentang PSV Eindhoven di Liga Juara-Juara Eropah (EPL).